COMMPASS 2025: PLATFORM STRATEGIK PERKUKUH PENDIDIKAN DAN HUBUNGAN INDUSTRI
PULAU PINANG, 18 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Komunikasi terus memperkukuh peranan akademia-industri apabila menganjurkan karnival komunikasi bertemakan “COMMPASS 2025: Career and Industry Unplugged” yang berlangsung dari 6.30 pagi hingga 10.30 malam di Kampus Induk USM.

COMMPASS 2025 menghimpunkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang menggabungkan elemen kesihatan, pembangunan kerjaya, perkongsian industri dan apresiasi seni komunikasi, sekali gus memupuk kemahiran insaniah, nilai kemampanan dan hubungan erat antara pelajar serta sektor profesional.

Program ini juga dirancang bertujuan mendedahkan pelajar terutama pelajar tahun akhir dalam membuat persediaan menghadapi dunia industri media dan komunikasi.
Program dimulakan dengan 'Run with Style 3KM' yang disertai lebih 300 peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah dan kakitangan Pusat Pengajian Komunikasi, dengan 20 peserta terawal yang berjaya menjawab soalan di setiap hentian larian menerima Exclusive Champion Medal sebagai penghargaan.
Aktiviti ini turut menyokong nilai kesejahteraan dan komuniti aktif, menekankan bahawa keseimbangan fizikal dan kesihatan mental merupakan asas kecemerlangan akademik serta profesional.

Selari dengan nasihat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, setiap program mencerminkan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga selaras dengan nilai kemampanan global yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Program-program yang diadakan telah memperlihatkan bagaimana komunikasi menjadi jambatan utama dalam merealisasikan agenda kemampanan. Ia bukan sekadar melatih pelajar berkomunikasi, tetapi mendidik mereka menjadi insan yang sihat, beretika dan berdaya tahan selaras dengan semangat universiti berteraskan SDG,” ujar beliau.
Sesi bengkel pembangunan kerjaya pula menampilkan Ts. Dr. Teoh Kok Ban yang membentangkan topik “Thriving as an Intern: Key Dos and Don’ts for Professional Success” serta Dr. Miharaini Md. Ghani dengan tajuk “Groomed to Communicate: How Appearance Shapes Your Professional Identity.”
Kedua-dua sesi menekankan kepentingan etika kerja, komunikasi berkesan dan penampilan diri dalam membina kredibiliti pelajar komunikasi sebagai persediaan menghadapi latihan industri.
Perkongsian ini memperkukuh komitmen USM terhadap SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui latihan kemahiran insaniah dan pembangunan potensi diri pelajar secara holistik.
Sesi 'CommTalks: Industry Unplugged' yang dipengerusikan oleh Dr. Ngo Sheau Shi pula menampilkan tiga panel tersohor yang mewakili pelbagai cabang bidang komunikasi dan industri kreatif.
Antara panel yang dijemput ialah Penerbit Eksekutif, Multimedia Film Productions, Encik Keoh Chee Ang, yang berkongsi pengalaman luas dalam bidang penerbitan dan produksi media; Creative Group Head, Accenture Song, Puan Ayuni Safira, yang membincangkan peranan kreativiti dan pengiklanan dalam dunia pemasaran digital moden; serta Assistant Manager (Northern), Constituent Relations, Public Affairs & Stakeholder Management, MRT Corp, Encik Selwam Arjunan, yang berkongsi perspektif mengenai komunikasi strategik serta pengalaman beliau sebagai wartawan di Media Prima sebelum ini.
Turut dikongsikan cabaran dan persediaan yang perlu diberikan perhatian oleh para pelajar yang akan melangkah ke dunia perkerjaan nanti.
Diskusi mereka membuka perspektif tentang dunia komunikasi sebenar, kepimpinan kreatif dan inovasi media yang selari dengan SDG 8 (Pekerjaan Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur)
Program diakhiri dengan tayangan filem “War on Terror - KL Anarki” sebagai refleksi sosial yang turut diselitkan dengan elemen hiburan ilmiah buat para pelajar.
Keoh Chee Ang, Penerbit Eksekutif filem tersebut, yang juga alumni Pusat Pengajian Komunikasi USM, turut berkongsi pengalaman pembikinan filem dan menjawab pelbagai soalan daripada pelajar yang menunjukkan minat mendalam terhadap dunia penerbitan dan produksi.
Sesi santai tetapi ilmiah ini memberi ruang kepada pelajar mendalami seni penceritaan dan memahami produksi filem tempatan dalam menyokong SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).
Dalam ucapannya, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Prof Madya Dr. Bahiyah Omar, menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan aktif alumni dan pemain industri yang kembali menyumbang kepada pembangunan pelajar komunikasi.
“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar terus daripada pengamal industri, dan lebih bermakna apabila dua daripada panel hari ini merupakan alumni kita sendiri. Saya berharap penglibatan alumni dan pemain industri seperti ini dapat diteruskan demi manfaat bersama antara universiti, pelajar dan komuniti profesional,”
jelas beliau.
Program yang diterajui oleh Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Pengantarabangsaan, Dr. Nur Atikah A. Rahman dan Pengerusi Program Pra-siswazah, Dr. Suriati Saad ini turut dibantu oleh Persatuan Pelajar Komunikasi (PERKOM) dan dimeriahkan dengan kehadiran para pensyarah dan pelajar-pelajar Pusat Pengajian Komunikasi.
Penganjuran COMMPASS 2025 membuktikan komitmen USM dalam memperkukuh jalinan akademia-industri serta membina keseimbangan antara ilmu, kesihatan dan nilai kemampanan untuk masa depan pendidikan tinggi yang inklusif dan lestari.
Teks: Dr. Miharaini Md Ghani, Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 340