USM DILANTIK SEBAGAI KETUA PENYELARAS FESTIVAL OF IDEAS (FOI) PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG; SASAR PENGLIBATAN 20,000 PESERTA
PULAU PINANG, 23 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah diberi mandat sebagai Ketua Penyelaras Festival of Ideas (FOI) Peringkat Negeri Pulau Pinang, yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2025 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC).

Lebih menarik lagi, FOI 2025 buat julung kalinya dibawakan ke Pulau Pinang dengan pelbagai pengisian program menarik yang merangkumi keperluan seluruh lapisan masyarakat, dalam kalangan kanak-kanak hingga dewasa.
Antara pengisian utama FOI @ Pulau Pinang yang bakal menarik tumpuan pengunjung termasuklah siri forum dan wacana ilmu yang mengetengahkan aplikasi ilmu, teknologi dan inovasi untuk masyarakat.
Selain itu, USM turut menganjurkan pertandingan inovasi SDG Innozilla yang menghimpunkan lebih 140 penyertaan daripada universiti awam dan swasta, politeknik, kolej serta sekolah sekitar Pulau Pinang.
Turut menyerikan festival ini ialah pameran STEM dan kebudayaan antarabangsa, pemeriksaan kesihatan percuma, serta sesi interaktif bersama pihak industri yang membuka peluang jaringan kerjasama strategik dan prospek kerjaya kepada pelajar serta graduan.
Lebih istimewa, edisi Pulau Pinang kali ini turut dimanfaatkan lagi melalui khutbah Jumaat khas pada 24 Oktober 2025 di seluruh masjid negeri Pulau Pinang yang akan menekankan kepentingan ilmu dan inovasi dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik global.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, dengan gabungan pelbagai disiplin dan penglibatan masyarakat, FOI @ Pulau Pinang dijangka menjadi platform pemangkin melalui kolaborasi “multiple-helix” yang menghubungkan akademia, industri, komuniti dan kerajaan ke arah pembinaan negara maju berasaskan ilmu dan inovasi.
“Penganjuran FOI @ Pulau Pinang ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global.
“Mengangkat tema “MADANI: Mencetus Idea, Membina Masa Hadapan”, FOI @ Pulau Pinang bakal menampilkan pelbagai program berimpak tinggi yang bermanfaat dengan penekanan aspek inovasi, kelestarian, kesihatan pintar, semikonduktor serta pemerkasaan komuniti,” ujar beliau lanjut.
Penganjuran ini adalah hasil kerjasama antara Universiti dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selaras dengan aspirasi Visi Penang 2030 untuk memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, serta membina negeri hijau dan pintar.
Festival of Ideas yang menjadi kesinambungan kepada penganjuran di peringkat nasional, yang diperkenalkan tahun lalu, akan melabuhkan tirainya di Putrajaya pada November 2025.
Teks: Sekretariat FOI @ Pulau Pinang, USM
- Created on .
- Hits: 212