USM DIIKTIRAF PUSAT KECEMERLANGAN INDUSTRI SUKAN NEGARA: TERAJU AGENDA PEMBANGUNAN MAMPAN SEKTOR SUKAN
PULAU PINANG, 22 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta satu lagi pencapaian berprestij apabila diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara (PKISN) di bawah Pelan Industri Sukan Negara (PISN).

Pengiktirafan ini meletakkan USM sebagai institusi rujukan utama negara dalam memperkasa industri sukan yang berdaya saing, selari dengan agenda pembangunan mampan dan aspirasi Malaysia untuk menjadikan sektor sukan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Pelantikan ini turut memperkukuh peranan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berupaya mengintegrasikan penyelidikan, inovasi, dan kepakaran pelbagai disiplin dalam membentuk ekosistem sukan yang lestari dan berimpak tinggi.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, industri sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dari aspek ekonomi, sosial, dan kesihatan.
Katanya, ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan melalui sektor pelancongan, penyiaran serta penajaan, malah turut memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum melalui semangat kesukanan.
Mengulas mengenai pengiktirafan kepada USM itu, beliau turut menyatakan kesediaan USM untuk menyokong agenda besar industri sukan negara ini, sekali gus menterjemahkan komitmen universiti dalam memperkasa pembangunan modal insan negara.
“USM juga sentiasa berusaha untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta, serta memacu inovasi berasaskan penyelidikan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing atlet negara di pentas dunia,” ujar beliau lanjut.
Dalam pada itu, buat julung kalinya, Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan Pelan Industri Sukan Negara pada 9 Julai 2025, yang mana pelan ini menggariskan hala tuju strategik untuk memperkasakan industri sukan negara agar menjadi penyumbang signifikan kepada ekonomi.
Ia juga selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengangkat industri sukan sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi baharu.
Majlis Jemaah Menteri turut meluluskan penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara di empat buah universiti awam termasuk USM.
Pentauliahan USM sebagai PKISN dengan teras agenda pembangunan mampan amat bertepatan dengan peranan USM sebagai universiti yang mempelopori agenda ini.
Untuk rekod, pengiktirafan USM sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara selari dengan pencapaian cemerlang USM dalam agenda pembangunan mampan di peringkat global.
Dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, USM telah dinobatkan sebagai universiti nombor satu dunia bagi tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu Tiada Kemiskinan (SDG 1), Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh (SDG 16), serta Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).
Secara keseluruhan, USM berada di kedudukan ke-14 terbaik dunia daripada 2,526 universiti yang dinilai dalam ranking tersebut.
Teks: Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 217