USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA PENDIDIKAN AWAL ORANG ASLI MELALUI PROGRAM ‘SHAPING FIRST STEPS’ DI POS BETAU

PULAU PINANG, 17 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan inklusif dengan melaksanakan Program Shaping First Steps: Early Childhood Education in Educating Orang Asli di Pos Betau, Pahang atau singkatannya Program ECE Orang Asli Betau.

Program berimpak sosial tinggi itu merupakan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations–UN) di Malaysia dan Yayasan MySDG, dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia, serta dilaksanakan sepenuhnya oleh USM.

Ia turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa pendidikan awal kanak-kanak Orang Asli melalui pendekatan menyeluruh yang menekankan asas pembelajaran, kreativiti, dan pembangunan potensi secara inklusif.

Program tersebut menghimpunkan 123 peserta, termasuk 50 murid prasekolah Orang Asli yang menerima bahan sokongan pembelajaran seperti peranti luar talian, modul interaktif, dan aktiviti literasi asas.

Pendekatan pendidikan 3M (membaca, menulis dan mengira) yang digabungkan dengan aktiviti sukan serta pembelajaran luar bilik darjah didapati lebih berkesan dan sesuai dengan budaya masyarakat Orang Asli yang gemar aktiviti fizikal dan interaktif.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program tersebut sejajar dengan Transformasi Agenda APEX yang digerakkan Universiti untuk memperluas akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

“USM komited untuk memperkasa kanak-kanak Orang Asli melalui pendidikan awal yang berasaskan ilmu, penyelidikan dan inovasi. Inisiatif ini membuktikan bahawa universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi pemacu perubahan sosial yang memberi impak nyata kepada masyarakat,” jelasnya.

Dengan pendekatan yang menekankan pendidikan inklusif, keseronokan pembelajaran, dan penglibatan komuniti, Program ECE Orang Asli Betau menjadi satu lagi bukti komitmen USM terhadap pembangunan masyarakat yang seimbang dan lestari.

Majlis pelancaran program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran.

Turut hadir ialah Pegawai Komunikasi, Pemantauan dan Penilaian Malaysia–United Nations (UN) SDG Trust Fund, Navreena a/p Levan, serta pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis.

Dalam ucapannya, Azlan menegaskan bahawa memperkasa pendidikan awal kanak-kanak Orang Asli adalah langkah strategik ke arah pembentukan generasi masa depan yang lebih berdaya saing dan inklusif.

“Usaha seperti ini membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti dan komuniti mampu membawa perubahan sebenar dalam pendidikan awal kanak-kanak, serta membuka ruang kepada inovasi dan pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif,” katanya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK RPS Betau, Mat Daud Mamat pula menzahirkan penghargaan kepada USM atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam membantu memperkukuh asas pembelajaran dalam kalangan murid Orang Asli.

“Sokongan USM amat besar maknanya kepada sekolah kami, khususnya dalam membantu murid menguasai asas pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna,” ujarnya sambil menyifatkan program itu sebagai satu pendekatan baharu yang kreatif dalam konteks pendidikan komuniti.

“Pendekatan berasaskan aktiviti sukan yang dibawa USM ini amat menarik dan berbeza, sekali gus menunjukkan cara inovatif dalam mendekati masyarakat melalui pendidikan,” katanya.

  • Created on .
  • Hits: 83

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025