USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JUARA PERTANDINGAN DEBAT STATISTIK 2025

PULAU PINANG, 18 Oktober 2025 – Nama Universiti Sains Malaysia (USM) terus harum apabila Kelab Debat dan Pengucapan Awam (KDPA), USM  muncul sebagai Juara dalam Pertandingan Debat Statistik 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

WhatsApp Image 2025 10 23 at 11.38.18 e2d577bd

Pertandingan separuh akhir telah berlangsung pada 26 hingga 28 September 2025 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak, manakala pusingan akhir di Felda Sungai Koyan, Pahang pada 16 hingga 17 Oktober 2025, dengan menghimpunkan wakil-wakil terbaik daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Empat universiti telah mara ke peringkat akhir iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

Dengan hanya berbekalkan 5 hari persiapan untuk menghadapi pertandingan akhir yang sengit dengan usul “Dewan ini akan menjadikan automasi sebagai dasar utama dalam merombak struktur buruh pertanian negara”, pasukan USM berjaya menewaskan keempat-empat universiti yang mara ke peringkat akhir sekali gus menobatkan USM sebagai Juara Debat Statistik 2025.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan USM berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil penyertaan, trofi kemenangan, serta Piala Pusingan Debat Statistik 2025.

Lebih membanggakan, Muhammad Amirul Hakim Ahmad Roziman, pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Sains Kimia, turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir, mengukuhkan lagi prestasi cemerlang pasukan USM dalam kejohanan tersebut.

Pasukan debat USM turut dianggotai oleh Siti Nur Salsabiela Ahmad Shukri, pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, yang bersama-sama menampilkan fakta dan hujah yang bernas berdasarkan tema serta isu statistik semasa yang dibentangkan sepanjang pertandingan.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan pelajar USM bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam penguasaan kemahiran berfikir secara kritikal, berkomunikasi dan berdebat secara profesional di peringkat kebangsaan.

Teks: Muhammad Airul Afzan Azlan, intern@MPRC

  • Created on .
  • Hits: 209

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025