ADIKARMA USM UNGGULI FESTIVAL TARI KEBANGSAAN UKM 2025
PULAU PINANG, 19 Oktober 2025 - Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengharumkan nama Universiti apabila berjaya meraih Johan bagi kategori Institusi Pengajian Awam/Swasta IPTA/IPTS, Anugerah Koreografi Terbaik, dan Anugerah Busana Terbaik Emas dalam Festival Tari Kebangsaan UKM (FesTA25) yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

FesTA25 merupakan acara kebudayaan anjuran Pusat Kebudayaan UKM dengan kerjasama Aadyamaatra ARTISUKMA yang menjadi wahana penting dalam membentuk jati diri generasi muda Malaysia serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah dan mahasiswa dari pelbagai institusi di seluruh negara.

Terdapat empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, IPTA/IPTS dan terbuka, dengan penyertaan enam universiti dalam kategori IPTA/IPTS.

Menurut Muhammad Taufik Jefri, pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) yang juga penari Adikarma, kejayaan tersebut amat bermakna setelah mereka memberikan sepenuh komitmen dari segi masa dan tenaga dalam tempoh latihan yang singkat.

“Kami gembira kerana dapat membanggakan nama Adikarma dan USM di peringkat kebangsaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan USM yang banyak memudahkan urusan kami serta Ahmad Assahirin Hamlet, koreografer kami yang banyak berkorban untuk memastikan kejayaan ini,” katanya.

Mengulas tentang cabaran yang dihadapi, beliau menambah bahawa kekangan masa menjadi halangan utama kerana setiap penari mempunyai jadual dan komitmen tersendiri. Namun begitu, kesungguhan dan semangat berpasukan berjaya mengatasi segala kekangan tersebut.
Kejayaan Adikarma ini turut membuktikan komitmen Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, khususnya melalui Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya di bawah bimbingan Penolong Pegawai Kebudayaan, Ahmad Assahirin Hamlet, dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menyerlah dalam seni dan budaya negara.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman serta Pengarah Pusat Kebudayaan UKM, Mohamed Asrof Semin.
Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Foto: Muhammad Zahirul Hakim M Zar @ Md Zar
- Created on .
- Hits: 274