USM TINGKATKAN KESEJAHTERAAN KAMPUS MENERUSI FIESTA SEJIWA 2025
USM PULAU PINANG, 17 Oktober 2025 – Malam Fiesta Seni Ekspresif Jiwa (SEJiwa) dan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Universiti Sains Malaysia (USM) 2025 anjuran Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM melalui Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf (UPKS) berlangsung dengan suasana yang penuh nilai insani dan ekspresi emosi malam tadi.

Ia bukan sekadar meraikan kreativiti, tetapi turut mencerminkan komitmen USM dalam melahirkan warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan inovasi, malah luhur dalam nilai kemanusiaan, yang mana setiap emosi disantuni, setiap suara didengar, dan setiap insan diraikan dalam kesejahteraan bersama.

Bertemakan “Santuni Emosi, Sejahtera Insani,” program ini menyeru kepada pembentukan komuniti kampus yang sejahtera, inklusif, dan penyayang, seiring usaha universiti membina kesejahteraan holistik warga kerja dan pelajar.

Tema berkenaan yang diperkenalkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia turut menekankan kepentingan memahami emosi manusia dalam mendepani cabaran kehidupan moden.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam kenyataannya menekankan bahawa Universiti akan benar-benar sejahtera apabila setiap warganya rasa dihargai, didengar dan disokong bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai insan yang memiliki jiwa dan rasa.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sehingga 31 Disember 2024, seramai 975,780 penjawat awam atau 77 peratus daripada keseluruhan 1.26 juta telah menjalani saringan kesihatan psikologi melalui sistem MyPsyD,” katanya.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44,901 orang atau kira-kira 4.6 peratus dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi mengalami isu kesihatan mental termasuk tekanan emosi, kemurungan, keresahan, penyalahgunaan bahan, dan kecenderungan tingkah laku berisiko.
“Kajian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun sama juga mendapati hampir 40 peratus pelajar IPT mengalami gangguan tidur, tekanan akademik dan keresahan sosial, menggambarkan betapa pentingnya perhatian terhadap kesejahteraan emosi,” tambah beliau lagi.
Abdul Rahman turut menghargai usaha Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia yang giat melaksanakan program pemulihan, pencegahan dan pembangunan kesejahteraan staf, termasuk penganjuran Podcast Sembang Kaunselor BSM yang kini memasuki tahun kelima.

Edisi kali ini menampilkan kelainan melalui Fiesta SEJiwa USM 2025, yang menandakan tahun ketiga penganjurannya.

Berkonsepkan fiesta mini selama dua hari, program ini tampil lebih interaktif dan berimpak tinggi dengan pelbagai aktiviti seperti SeJiwa Voice, pertandingan fotografi dan lukisan, serta program Exploraise, yang menggabungkan seni, gerak fizikal, dan kesedaran diri.

Kesemua aktiviti ini menjadi medium untuk menyatukan keindahan seni dan kesejahteraan jiwa, sekaligus memperkukuh kefahaman bahawa kesejahteraan emosi boleh dipupuk melalui ekspresi kreatif dan kebersamaan.

Antara yang turut hadir ialah Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; bersama Timbalan-timbalan Pendaftar Kanan dan pegawai kanan ketiga-tiga kampus USM; serta Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar merangkap Pengarah Projek Malam Fiesta SEJiwa dan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan USM 2025, Nur Amirah Asyikin Hasmizar.
Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 324