USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN SK SRI AMAN KUKUHKAN MINAT PELAJAR TERHADAP STEM

PULAU PINANG, 17 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited memperkukuh budaya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Program Minggu STEM bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, Ayer Itam.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.40 b55bd70a

Program yang dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menyaksikan penyertaan seramai 450 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 SK Sri Aman.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.50 1199f2a4

Lebih 80 tenaga pakar, pensyarah, dan pelajar prasiswazah serta pascasiswazah USM turut terlibat dalam menjayakan pelbagai aktiviti interaktif bertemakan STEM, meliputi bidang sains tulen, kejuruteraan dan teknologi, serta sains kesihatan dan perubatan.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.50 56dee6d1

Menurut Naib Canselor, penganjuran program seumpama ini adalah sebahagian daripada usaha USM sebagai Universiti APEX untuk memupuk minat awal pelajar terhadap STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (‘experiential learning’) yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.45 ae5d6b85

“Tumpuan terhadap bidang STEM amat penting bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat dan tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi antara sekolah, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri dapat memperkukuh ekosistem pembelajaran STEM secara formal dan tidak formal, sekali gus membantu memperluas jaringan kerjasama pendidikan.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.40 97b28199

Menariknya, Program Minggu STEM kali ini juga merupakan pra-program kepada Festival of Ideas (FOI) @ Pulau Pinang 2025, sebuah inisiatif nasional yang bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.41 06bb0e5d

Program tersebut dijadual berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2025 di Penang Waterfront Convention Centre.

Dalam ucapannya, Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pendidikan Daerah, Guru Besar, para guru, ibu bapa, pelajar, serta 11 pusat pengajian dan pusat penyelidikan USM yang turut terlibat dalam menjayakan program ini.

“Semoga semangat kerjasama ini akan terus subur bagi memupuk minat anak tempatan dalam bidang STEM dan menyumbang kepada kemajuan negara,” tambah beliau.

WhatsApp Image 2025 10 21 at 11.14.42 b08f05dc

Turut hadir bersama dari pihak SK Sri Aman ialah Guru Besar, Mahathir Md Sahak; Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Mohd Jefferi Man; Naib Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Azlan Akh Jamiyathulla Khan; serta ketua-ketua jabatan dan pensyarah pusat pengajian dan pusat penyelidikan USM yang terlibat dalam program tersebut.

Teks: Muhammad Airul Afzan Azlan, intern@MPRC/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 237

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025