USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NURALEAYA RAIH TEMPAT KETIGA DI PERTANDINGAN IDEA BELIA #GENBAJET2026

USM PULAU PINANG, 15 Oktober 2025 – Pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Nuraleaya Zafirah Mohd Yazid, sekali lagi mengharumkan nama Universiti apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Idea Belia #GenBajet2026 yang berlangsung di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Pertandingan tersebut merupakan platform yang memberi peluang kepada mahasiswa seluruh negara untuk mengemukakan idea dan cadangan bernas bagi Belanjawan 2026, yang kini diperkukuh melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

PuTERA35 merupakan sebuah rangka hala tuju negara bagi membangunkan sosioekonomi Bumiputera dalam jangka masa panjang, dan berlandaskan tiga tema utama iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Bumiputera dalam pelbagai sektor strategik.

Menurut Nuraleaya, cabaran utama yang dihadapi adalah dalam mencari idea yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat serta mempunyai nilai tambah kepada dasar sedia ada.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua mahasiswa, jadi kami perlu fikir cadangan yang sesuai untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026. Cabaran utama adalah mengenal pasti isu-isu sebenar yang dihadapi oleh masyarakat memandangkan pelbagai inisiatif telah pun dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, kami perlu meneliti perkara baharu yang boleh diketengahkan atau menambah baik dasar sedia ada,” jelasnya.

Nuraleaya mengakui tidak menyangka akan meraih tempat ketiga kerana beliau bukanlah individu yang biasa berucap di hadapan khalayak ramai.

“Saya memang jenis yang tak biasa bercakap depan orang. Jadi bila dapat nombor tiga dan berpeluang bentang idea di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, ia satu pencapaian besar bagi saya. Jujurnya, rasa gementar kerana mereka semua orang hebat dan bijak pandai,” katanya.

Idea yang dibentangkan oleh Nuraleaya, dinamakan “Work Life Credit Nasional”, merupakan satu cadangan dasar baharu yang memberi pengiktirafan dan insentif kepada syarikat yang mengamalkan keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance) di tempat kerja.

“Ramai pekerja di Malaysia mengalami keletihan mental dan kurang masa untuk diri sendiri. Jadi saya cadangkan satu mekanisme yang beri kredit atau insentif kepada majikan yang benar-benar menjaga kesejahteraan pekerja. Ia bukan kos tambahan, tapi satu pelaburan untuk meningkatkan kesetiaan dan produktiviti,” ujarnya.

“Saya sendiri akan memasuki dunia pekerjaan tidak lama lagi, jadi saya harap idea ini dapat dipertimbangkan untuk dilaksanakan kerajaan bukan hanya untuk kebaikan pekerja, tapi juga masyarakat dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Nuraleaya turut menyifatkan platform seperti #GenBajet2026 sebagai saluran efektif bagi menyuarakan pendapat belia secara langsung kepada kerajaan.

“Ramai yang suka bersuara di media sosial, tapi kadang-kadang pandangan tu tidak sampai kepada pihak atasan. Platform seperti ini penting kerana kerajaan boleh dengar terus daripada kita,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa agar tidak memandang rendah potensi diri.

“Kadang-kadang kita sendiri tidak percaya pada diri kita sendiri, tetapi ada orang lain yang percaya dan tolak kita ke depan. Jadi jangan takut untuk mencuba, kerana kita tidak tahu sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/ Foto: Nuraleaya Zafirah Mohd Yazid 

  • Created on .
  • Hits: 158

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025