USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DOKTOR LEPASAN USM-KLE MEMPUNYAI KUALITI ANTARABANGSA

QK4C3095

BELGAUM INDIA, 25 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) bakal melahirkan 48 orang graduan sulung daripada Program Perubatan Antarabangsa USM – Karnataka Lingayat Education (KLE), India yang mempunyai kualiti di peringkat antarabangsa dan lebih matang.

Demikian ujar Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr Ahmad Sukari Halim ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Peperiksaan Akhir Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE di sini. 

QK4C2897

“Persatuan KLE atau KLE Society India menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman dalam pengajaran bidang perubatan serta infrastruktur yang hebat dan canggih bagi membantu pelajar memahami bidang tersebut dengan lebih mudah dan praktikal,” tambah Ahmad Sukari.

“Berdasarkan maklum balas daripada pemeriksa luar sama ada dari India atau Malaysia, pelajar ini mempunyai kepakaran dan cukup mantap dari segi mengambil sejarah penyakit pesakit (history taking) hasil daripada tunjuk ajar oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.

“Selain tenaga pengajar, pelajar di sini dapat gunasama kemudahan Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC); kolej perubatan yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang pengajaran perubatan dan Prabhakar Kore Charitable Hospital.

QK4C2878

“Alhamdulillah, keputusan akhir 48 orang graduan sulung tersebut amat memberangsangkan dan Insyallah mereka akan dapat bergraduasi pada November ini dan berkhidmat di Malaysia dengan penuh sikap professional dan bertanggungjawab serta menjadi ‘doktor yang selamat’,” ujar Ahmad Sukari. 

“Harapan saya supaya mereka dapat membawa nama USM  ke peringkat yang lebih tinggi serta menyumbang kembali pengalaman di luar negara untuk manfaat kepada pesakit secara khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya,” kata beliau yang mula dilantik sebagai Dekan PPSP sejak  tahun 2013.

Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE ini bermula pada sidang akademik 2010/2011 dan kini telah mempunyai lebih 450 orang pelajar dari tahun satu hingga tahun lima.

Kesemua mereka di tempat di kampus Kartanaka, Belgaum dengan pelbagai kemudahan pengajaran perubatan seperti 15 kadaver, tiga buah Multi Disciplinary Lab (MDL) yang lengkap, Makmal Problem Based Learning (PBL) yang selesa dan Skills Lab di samping kemudahan lain seperti stadium, kolam renang bersaiz olimpik, asrama yang selesa serta kemudahan jalur lebar.

QK4C2939

Menurut Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Dr Kamaruddin Jaalam, para pelajar di sini juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum seperti sukan, kelab fotografi, kelas tarian dan nyanyian dan sebagainya.

“Doktor-doktor di sini sangat berbakat dalam bidang lain selain pelajaran seperti bermain alat muzik serta pernah memenangi beberapa pertandingan yang dianjurkan sekitar India,” ujar Kamaruddin yang dianggap ayah di kalangan pelajar USM-KLE.

“Sebagai seorang Timbalan Dekan, saya harus memastikan pelaksanaan program perubatan di sini mengikut sukatan pelajaran dan kurikulum adalah selari dengan pelaksanaan di PPSP, Kampus Kesihatan, Kubang Kerian Kelantan,” tambah Kamaruddin yang sangat disenangi oleh para pelajar. 

“Kita bertuah kerana mempunyai pasukan yang amat komited dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dalam pelbagai aspek sama ada di kalangan pengurusan tertinggi mahupun staf pentadbiran,” ujar Kamaruddin yang boleh berkomunikasi dalam bahasa setempat iaitu Kannada. 

“Sehingga kini kita telah berjaya mencapai standard yang dikehendaki. Namun ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa.

“Namun begitu, program pesisir USM-KLE International Medical Programme telah dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak yang ingin mencontohi model yang USM-KLE jalankan selama lima tahun ini,” kata Kamaruddin mengakhiri perbualan. - Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Dzulfikar Azmi Mohamad Aripin @ Isa 

  • Created on .
  • Hits: 2090

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024