USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI HIJAU USM, BIOGEL BAIT RAIH TEMPAT KETIGA DI SIC 2025

USM PULAU PINANG, 10 Oktober 2025 – Inovasi hijau hasil penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencipta sejarah apabila BioGel Bait, inovasi biodegradasi berasaskan hidrogel di bawah syarikat spin-off BioG Expert Sdn. Bhd., berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori ‘Commercialization Potential’ di Swiss Innovation Challenge (SIC) Malaysia 2025 yang dianjurkan oleh Universiti DRB-HICOM di SME Bank, Kuala Lumpur.

WhatsApp Image 2025 10 13 at 16.32.54 c0071d8a

Diketuai oleh Timbalan Penyelaras Unit Penyelidikan Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Dr. Nur Faeza Abu Kassim bersama Dr. Sumiyyah Sabar dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, pasukan penyelidik USM itu berjaya menempah tempat antara tiga terbaik selepas melalui tiga peringkat penilaian yang berlangsung dari Mei hingga September 2025 menerusi inovasi yang bertajuk ‘BioGel Bait: A Sustainable, Market-Driven Solution for the Global Dengue Challenge.’

WhatsApp Image 2025 10 13 at 16.32.54 362ad9d2

Daripada lebih 250 penyertaan awal, hanya 147 pasukan layak ke peringkat pertama, kemudian 18 produk mara ke peringkat kedua, dan akhirnya BioGel Bait tersenarai antara enam finalis terbaik sebelum diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.

WhatsApp Image 2025 10 13 at 16.32.54 b9c260a4

Kejayaan ini amat bermakna apabila pasukan dari Universiti Awam seperti USM perlu bersaing secara langsung dengan syarikat-syarikat dari industri yang telah mempunyai nilai komersial kukuh serta rangkaian perniagaan tersendiri.

WhatsApp Image 2025 10 13 at 16.32.55 72657241

Menurut Nur Faeza, inovasi ini telah dibangunkan selama lapan tahun melalui penyelidikan berterusan bagi menghasilkan penyelesaian lestari terhadap masalah denggi dan kawalan serangga perosak.

“Kalau diikutkan, SIC ini bukanlah pertandingan pertama kami, tetapi kami tetap bangga dan bersyukur kerana di SIC kami merupakan antara pasukan dari Universiti Awam yang mempunyai banyak kekurangan tetapi perlu bersaing dengan inovasi-inovasi industri besar lain,” katanya.


“Cabaran ini benar-benar menguji kemampuan kami keluar daripada zon akademik untuk bersaing dalam arena komersial sebenar. Namun, kejayaan ini membuktikan bahawa penyelidikan universiti juga mampu memberikan impak besar kepada masyarakat dan industri,” tambahnya.

BioGel Bait merupakan inovasi hidrogel mesra alam yang diperkaya dengan biobahan botani dan penarik serangga semula jadi, berfungsi untuk membunuh nyamuk melalui kawalan biologi tanpa menjejaskan manusia atau alam sekitar.

Selain membantu mengurangkan kes demam denggi, inovasi ini turut mendidik masyarakat mengenai kawalan kendiri tanpa penggunaan bahan kimia merbahaya.

“Kita tahu masalah denggi di negara kita tidak akan pernah habis, malah ia antara isu kesihatan awam yang paling serius. Setakat hari ini kebanyakan produk kawalan yang digunakan pula merupakan bahan kimia yang tidak lestari,” katanya.

Malah, melalui keberkesanan dan potensi pasaran yang luas, inovasi ini turut menyokong matlamat SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Nur Faeza dan pasukannya sebelum ini turut mencatat beberapa kejayaan cemerlang termasuk KANS Scientific Competition 2023 (Pemenang kategori Energy, Water & Environment); PENCIPTA 2022 (Pingat Emas dan Anugerah Terbaik Teknologi Hijau), serta pingat emas di ITEX 2018, MTE 2023, INNOVATHON 2024, finalis Anugerah MCY 2024 serta INNOZILLA 2024.

Sebagai langkah seterusnya, inovasi BioGel Bait berkemungkinan akan dipertandingkan di SIC Switzerland pada 16 hingga 20 November 2025.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/ Foto: Prof. Madya Dr. Nur Faeza Abu Kassim, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM  

  • Created on .
  • Hits: 217

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025