USM RAIKAN ‘MENTAL HEALTH DAY 2025,’ KUKUHKAN KESEDARAN DAN EMPATI TERHADAP KESEJAHTERAAN MENTAL

USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmennya dalam memperkasa isu kesejahteraan mental warga kampus melalui penganjuran Program ‘Mental Health Day 2025.’
Program yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa yang dianjurkan Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dengan kerjasama strategik Befrienders Pulau Pinang itu telah dirasmikan oleh isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, YABhg. Puan Tan Lean Kee, dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, YB Gooi Zi Sen.
Program tersebut juga dihadiri oleh Profesor Dr. Azlan Amran, yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, mewakili Naib Canselor USM.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kesihatan mental kini merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius kerana dalam hidup yang serba moden ini, tekanan hidup semakin meningkat dan ramai individu, khususnya mahasiswa, berdepan dengan cabaran emosi.
“USM percaya bahawa berbicara mengenai kesihatan mental ini bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya lambang keberanian. Berdiam diri hanya akan memberikan tekanan, sedangkan berkongsinya dapat memberi kelegaan,” ujar beliau.
Beliau turut memetik data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan bahawa seorang (1) daripada lapan (8) individu di dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya melibatkan golongan belia dan mahasiswa.
Program ini merupakan salah satu daripada sembilan (9) Program Khas sempena Sambutan Bulan Kaunseling USM 2025 yang dianjurkan oleh Unit Kaunseling BHEPA sepanjang tahun.
Antara pengisiannya termasuklah Webinar Kesejahteraan Emosi, Siri Podcast Khas TTS @ UK, Fun Walk & Wellness, dan Ceramah Pengurusan Emosi.


Penganjuran kali ini menyasarkan lima objektif utama, iaitu meningkatkan kesedaran bahawa kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal; menyediakan ruang sokongan awal melalui maklumat, ilmu dan intervensi; mewujudkan platform dialog terbuka agar cerita benar dapat didengar tanpa prejudis; menawarkan kaunseling profesional secara percuma supaya setiap insan tahu ada tempat untuk mendapatkan bantuan; serta membina budaya empati dan prihatin kerana hanya dengan memahami, kita mampu menyokong.
Azlan turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah, panel forum, NGO, sukarelawan dan warga kampus yang menjayakan program ini, serta menegaskan bahawa kejayaan menangani isu mental memerlukan kerjasama dan sokongan komuniti secara menyeluruh.

“Dengan empati dan sokongan bersama, kita mampu melahirkan komuniti USM dan masyarakat Pulau Pinang yang lebih sihat, lebih kuat, dan lebih bahagia,” tambah beliau.
Antara tetamu kenamaan yang hadir bersama adalah Pengerusi Befrienders Pulau Pinang, Saras Pillay; dan Pengarah Program Befrienders Pulau Pinang, Amanda Lee.

Teks: Muhammad Airul Afzan Azlan, intern@MPRC/Sumber Foto: Unit Media & Penerbitan BHEPA (Facebook)
- Created on .
- Hits: 377