USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC LANCAR INISIATIF DAPUR SISWA @ KAMPUS KEJURUTERAAN SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN SISWA SIDANG AKADEMIK 2025/2026

559733388 1384333383697092 8478100609939676589 n

NIBONG TEBAL, 3 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan mahasiswa apabila Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, melancarkan inisiatif Dapur Siswa @ Kampus Kejuruteraan sempena Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2025/2026 di sini hari ini.

Menurut beliau, Dapur Siswa merupakan cerminan keprihatinan universiti terhadap kebajikan mahasiswa, khususnya golongan B40, asnaf dan pelajar berkeperluan, dengan memastikan akses berterusan kepada makanan asas berkhasiat.

558579450 1384333637030400 471489039360958670 n

“Inisiatif ini turut memperkenalkan inovasi ‘Food Retort – Ready to Eat,’ iaitu makanan siap saji yang mampu bertahan sehingga dua tahun yang dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 200 orang mahasiswa di Kampus Kejuruteraan,” katanya.

Beliau menambah, usaha ini digerakkan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) yang menjadi tulang belakang dalam pelaksanaan program kebajikan mahasiswa di kampus.

558861128 1384334223697008 8512345932850810589 n

“Harapan saya agar inisiatif bantuan Dapur Siswa @ Kampus Kejuruteraan ini benar-benar dapat membantu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan. Semoga ia dapat diperkasa dan diperluaskan dari semasa ke semasa demi kebajikan mahasiswa kita,” ujarnya.

559008644 1384335047030259 7254016017291977332 n

Dalam ucapan beliau, Abdul Rahman turut merakamkan ucapan tahniah kepada 799 pelajar baharu kejuruteraan kerana berjaya menempatkan diri di USM, termasuk 35 pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti orientasi di Kampus Induk.

“Hari ini menandakan permulaan perjalanan baharu untuk membentuk anda sebagai insan berilmu, berdaya saing, dan berbakti kepada masyarakat,” kata beliau.

558879558 1384333827030381 1532042082561018508 n

Menyentuh akan hala tuju Universiti, Naib Canselor berkata USM sentiasa memperkukuh konsep ‘Industry on Campus’ melalui hubungan strategik dengan pelbagai sektor utama seperti Elektrik & Elektronik (E&E), automotif, peralatan perubatan, teknologi hijau, dan petrokimia.

558284279 1384334833696947 3353585663280264254 n

“Kerjasama ini membuka peluang luas kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, terlibat dalam penyelidikan bersama industri dan memperoleh sijil profesional, yang bukan sekadar pembelajaran teori di bilik kuliah, tetapi juga peluang untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar,” katanya.

Menurut beliau, peluang ini akan menjadikan graduan USM lebih bersedia menghadapi pasaran kerja selepas tamat pengajian kelak.

Dalam masa yang sama, Naib Canselor menegaskan bahawa Universiti amat menitikberatkan kesejahteraan mahasiswanya melalui penaiktarafan fasiliti kampus, termasuk sistem audio visual di Kompleks Dewan Kuliah, Dewan Utama, Dewan Serbaguna, dan Dewan Bankuet.

“Kemudahan sukan seperti gelanggang bola tampar, bola jaring dan bola keranjang turut dipertingkatkan,” ujarnya.

557736814 1384333663697064 3682866994170429611 n

558307776 1384333410363756 6172974966803891399 n

“Malah, beberapa peruntukan tambahan juga telah diluluskan khusus untuk Kampus Kejuruteraan sebagai usaha berterusan pihak pengurusan dalam meningkatkan fasiliti serta mewujudkan ekosistem pembelajaran dan kokurikulum yang kondusif pelajar,” tambahnya.

556981266 1384334017030362 7219795044157404936 n

557053879 1384334237030340 5294883166106838673 n

Turut hadir pada majlis ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat yang turut Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran; serta Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 90

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025