USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIDANG AKADEMIK 2025/2026, USM KAMPUS KEJURUTERAAN TERIMA 792 PELAJAR BAHARU

DSC 2792

NIBONG TEBAL, 28 September 2025 – Seramai 792 pelajar baharu telah mendaftar masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan di sini sehingga petang tadi bagi Sidang Akademik 2025/2026, daripada keseluruhan 919 tawaran kemasukan yang dikeluarkan.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha ketika ditemui berkata, universiti komited menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik buat pelajar dengan sokongan kemudahan moden serta pusat tanggungjawab (PTJ).

collage

“Sokongan kemudahan ini akan berperanan dalam membantu pembangunan akademik dan sahsiah mahasiswa sepanjang empat tahun tempoh pembelajaran mereka di dalam kampus kelak,” katanya.

Menurut beliau, USM Kampus Kejuruteraan dilengkapi makmal berteknologi tinggi, perpustakaan, pusat sukan, kemudahan ICT, perkhidmatan kesihatan serta sokongan kaunseling yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar.

collage3

“Semua ini bagi memastikan pelajar dapat menuntut ilmu dengan cemerlang dan seimbang dari segi akademik, sahsiah dan aktiviti kampus,” jelasnya ketika turut hadir menyambut kehadiran pelajar baharu di sini hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan mengamalkan nilai serta budaya universiti termasuk belajar dengan cemerlang, beretika, berintegriti serta mematuhi peraturan kampus.

“Di USM, kita mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga mempunyai keperibadian diri yang tinggi, amanah serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti,” katanya.

collage9

Beliau pada masa yang sama turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang hadir, dengan jaminan bahawa kebajikan dan keselamatan pelajar akan sentiasa menjadi perhatian universiti.

Dengan kemasukan pelajar baharu, USM Kampus Kejuruteraan kini menempatkan hampir 5,000 pelajar di enam pusat pengajian, iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia serta Kejuruteraan Mekanik.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 163

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025