USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAMPUS KESIHATAN USM TERIMA 568 PELAJAR BAHARU - TINGKAT PERANAN SEBAGAI HAB PENDIDIKAN KESIHATAN NEGARA

1000184019

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Oktober 2025 – Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima seramai 568 pelajar baharu yang mendaftar diri di pelbagai program pengajian Ijazah Pertama, Sidang Akademik 2025/2026, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama dalam bidang kesihatan, perubatan, dan pergigian di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, seramai 142 orang pelajar mendaftar di Pusat Pengajian Sains Perubatan, 42 orang di Pusat Pengajian Sains Pergigian, 314 orang di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan 70 orang merupakan calon Program Feeder USM (PRA-U USM) dalam aliran Sains Hayat Kolej MARA Kulim, yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Program Doktor Perubatan di USM-KLE, India.

1000184013

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, 568 orang pelajar yang berdaftar di Kampus Kesihatan USM ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 4,936 calon yang telah ditawarkan kemasukan ke USM bagi Sidang Akademik 2025/2026.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar baharu kerana berjaya menempatkan diri di sebuah kampus yang berprestij dan berwibawa dalam bidang kesihatan.

“Kampus Kesihatan bukan sekadar pusat akademik, malah menjadi pusat rujukan kesihatan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

1000184009

“Di sinilah lahirnya ribuan doktor, jururawat, ahli pemulihan serta pakar kesihatan yang kini menyumbang bakti di seluruh pelosok negara bahkan di pentas dunia,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Siswa Kampus Kesihatan Sidang Akademik 2025/2026 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Abdul Rahman turut mengingatkan para pelajar bahawa kejayaan dalam bidang pengajian kesihatan bukan datang secara mudah, sebaliknya menuntut ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi.

1000184011

“Anda semua telah memilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar USM. Pastikan pilihan ini adalah pilihan yang tepat, terbaik, dan betul.

“Pilihan ini akan menjadi titik mula untuk membuktikan kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat bahawa anda mampu berjaya dan memberi sumbangan besar kepada negara,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, kemasukan pelajar tahun ini turut mencerminkan usaha USM dalam memperkasa pendidikan inklusif dan akses saksama kepada golongan rentan dan berkeperluan khas.

1000184021

“Sebanyak 17 calon OKU telah ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus USM dan mereka akan menikmati kemudahan kelas pertama di desasiswa yang menyediakan fasiliti mesra OKU, seperti tandas khas, laluan kerusi roda, dan parkir kenderaan yang berhampiran dengan bilik mereka.

“Pendaftaran tahun ini juga mencatatkan kehadiran seorang pelajar Orang Asli yang ditawarkan untuk mengikuti program pengajian Sinaran Perubatan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan,” jelasnya.

1000184017

Abdul Rahman turut menyeru para pelajar baharu untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada semasa mengikuti pengajian dan jadikan pengalaman di Kampus Kesihatan USM sebagai platform membentuk jati diri, kemahiran profesional dan sumbangan kepada negara.

“Masyarakat dan negara amat memerlukan bakat-bakat kesihatan yang berilmu, berakhlak dan berintegriti. Jadilah insan yang mampu memberi sumbangan bermakna, sama ada di desa terpencil, hospital besar atau di pentas antarabangsa.

1000184025

“Saya mendoakan agar saudara-saudari sentiasa cekal dan kental sepanjang menimba ilmu di USM. Jadikan pengalaman di kampus sebagai sesuatu yang akan diingati sepanjang kehidupan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Orang Asli yang ditemui, Marisa Manu, 20, melahirkan rasa gembira kerana pilihan pertamanya semasa mengisi borang kemasukan ke universiti iaitu Program Sinaran Perubatan berjaya menjadikannya salah seorang pelajar baharu yang mendaftar diri di Kampus Kesihatan USM bagi Sidang Akademik 2025/2026.

1000184029

“Saya tidak menyangka yang saya diterima mengikuti Program Sinaran Perubatan kerana tidak yakin dengan jawapan semasa sesi temu duga, namun nasib menyebelahi saya kerana saya antara 32 orang pelajar yang terpilih mengikuti program ini di USM.

“Saya berharap agar saya mampu mengikuti pengajian di sini dengan jayanya dan bergelar pelajar cemerlang suatu hari nanti.

“Semoga kejayaan saya nanti akan membanggakan kaum saya iaitu Orang Asli Suku Kaum Jakun, Sungai Buloh, Selangor,” ujarnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 148

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025