USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SAMBUT 4,936 PELAJAR BAHARU, TEGAS KEPRIHATINAN MEMPERKASA PEMBANGUNAN SISWA

cc0cccd2 fa0d 4e41 aa01 593b48672f2d

USM PULAU PINANG, 2 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut seramai 4,936 pelajar baharu yang akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2025/2026 di ketiga-tiga kampusnya iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, dan Kampus Kesihatan.

Kesemua pelajar baharu diraikan dalam Majlis Sambutan Siswa Lestari yang menjadi kemuncak acara Minggu Siswa Lestari, dengan lafaz ikrar sebagai simbolik bergelar secara rasmi sebagai siswa dan siswi USM.

25e431fc 4ab9 4875 9262 54f71079ef39

e88fb731 d99e 474a af6d 0a401b4b2776

Sejajar kedudukannya sebagai satu-satunya universiti berstatus APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan), USM terus menekankan agenda transformasi pendidikan tinggi untuk kelestarian, selain berusaha menyediakan akses pendidikan inklusif buat semua.

1be39459 728f 4234 a94d 90c6fe19a681

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kemasukan kali ini turut mencatat 16,453 pemohon meletakkan USM sebagai pilihan utama, manakala 52,945 lagi memilih universiti itu pada kedudukan pilihan ketiga hingga ke-12.

Selain memberi keutamaan kepada pelajar tempatan, jelas beliau, USM turut menerima 768 pelajar antarabangsa dari 25 negara, selain 70 pelajar yang mengikuti program perubatan di kampus pesisir USM, Kampus USM-KLE, India.

“USM telah merangka pelbagai inisiatif khas bagi pembangunan pelajar termasuk Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN), inisiatif keusahawanan Pitch@USM, serta penyertaan aktif dalam lebih 100 persatuan mahasiswa.

8a03fd62 5c52 445e 8485 d4ab80891d12

“Dari segi kebajikan, USM kekal prihatin terhadap pelajar berpendapatan rendah dengan 58% pelajar baharu terdiri daripada keluarga B40.

97a5eb34 09e0 4444 b541 e3423e674b30

“Universiti turut menawarkan skim Siswa SULUNG 3.0 kepada 280 pelajar generasi pertama keluarga B40 kategori e-Kasih, meliputi pengecualian penuh yuran sepanjang pengajian,” tegas beliau.

Beliau menambah, bantuan tambahan turut disediakan melalui FoodBank@HEPA, Tabung Kebajikan Pelajar serta sokongan khas bagi mereka yang ditimpa musibah atau berdepan masalah kewangan.

b8a61e09 4dda 490f 8e61 a616ba4f7583

de6c3bb5 a146 431c 90f4 c97b0a1a1c7e

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan mahasiswa agar menguasai kemahiran digital termasuk kecerdasan buatan (AI), mengamalkan etika media sosial secara berhemah, serta sentiasa menghargai pengorbanan keluarga.

“Saya amat berharap para pelajar dapat bersama-sama mendukung reputasi USM sebagai universiti peneraju kelestarian di peringkat global, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing,” katanya lagi.

4012e2ac c3ba 4aeb 94c0 181127bb2b70

d3cee3fd e545 4808 85b7 82994cedb449

Majlis Sambutan Siswa di Kampus Induk turut diserikan dengan kehadiran warga pengurusan tertinggi universiti yang bersama-sama memeriahkan acara tradisi tahunan dalam menyambut keluarga baharu USM.

54eea1a6 cedb 46ef 8bab 25dd5911a9e1

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM Profesor Dr. Azlan Amran; Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Profesor Dr. Habibah A Wahab; Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar USM, Muhamad Arif Esa; pegawai-pegawai utama universiti, dekan-dekan pusat pengajian, dan sebagainya.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 349

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025