USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TINGKATKAN KESIAPSIAGAAN MELALUI 'CODE BLUE DRILL' 2025

1000179933

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 September 2025 – "Kita perlu ingat nombor ini: 3030. Satu panggilan ke talian ini mampu menjadi penentu antara hidup dan mati apabila berlaku serangan jantung di kawasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Kampus Kesihatan USM," tegas Timbalan Pengarah Operasi HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Menurut beliau, dengan sekali dail, sistem kecemasan 'Code Blue' akan diaktifkan dengan menggerakkan pasukan medik dan paramedik terlatih untuk memberi rawatan segera kepada mangsa 'cardiorespiratory arrest'.

"Sistem 'Code Blue' amat penting kerana ia memastikan bantuan awal dapat diberikan segera kepada mangsa yang jantungnya terhenti, sama ada melibatkan warga klinikal, staf bukan klinikal atau orang awam yang berada di kawasan hospital.

“Rawatan awal dalam empat (4) minit pertama adalah penentu nyawa mereka.

1000179931

"Justeru, setiap staf perlu memahami tatacara 'Code Blue', tahu mengaktifkannya dan mampu memberi bantuan asas sementara menunggu pasukan perubatan tiba,” katanya ketika berucap pada sesi pembukaan Taklimat Kesedaran 'Code Blue' di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan, hari ini.

Bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan staf menghadapi kecemasan, USM menganjurkan 'Mock Code Blue Drill 2025' (MCBD 2025) dan Taklimat Kesedaran 'Code Blue' dengan penglibatan lebih 50 staf daripada pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ).

1000179937

Program bermula dengan simulasi MCBD 2025 di Kaunter Jabatan Bendahari, Kompleks Pejabat Pengarah Kampus bagi menilai keupayaan staf mengesan serangan jantung, bertindak pantas, berkomunikasi dengan berkesan serta bekerjasama dalam pasukan ketika kecemasan.

Sesi simulasi dipimpin sendiri oleh Mohd Imran selaku Pengerusi Jawatankuasa 'Code Blue: HPUSM bersama Profesor Dr. Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman sebagai Penyelaras MCBD 2025.

1000179941

Walaupun berjaya dilaksanakan, penilaian mendapati tahap kesiapsiagaan staf masih rendah dan memerlukan penambahbaikan. Sesi 'de-briefing' yang dijalankan kemudiannya memberi ruang untuk mengenal pasti kelemahan serta merangka strategi memperkukuh persediaan menghadapi 'Code Blue'.

1000179939

Penganjuran MCBD 2025 dan Taklimat Kesedaran 'Code Blue' membuktikan komitmen USM dalam melahirkan warga kampus yang tangkas, berpengetahuan dan berkemahiran menghadapi kecemasan, sekali gus memastikan lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

1000179943

Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 65

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025