DEBAT GENERASI MADANI KEBANGSAAN 2025 BUKTI KEJAYAAN KERJASAMA STRATEGIK USM DAN JPN PULAU PINANG
USM PULAU PINANG, 11 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menjadi lokasi utama penganjuran Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025, yang menghimpunkan kontinjen sekolah menengah dari seluruh negara.
Pertandingan berprestij ini berlangsung selama tiga hari dengan sokongan padu Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM sebagai rakan strategik utama, serta kerjasama erat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain menyediakan tempat pertandingan, USM turut menawarkan kemudahan penginapan yang selesa untuk semua kontinjen yang bertanding.
Sebanyak 16 negeri menyertai pertandingan ini, dengan setiap kontinjen diwakili lima orang murid dan seorang guru pembimbing.
Pertandingan berlangsung penuh semangat apabila setiap kontinjen ditentukan melalui cabutan undi untuk mewakili pihak kerajaan atau pembangkang.
Antara usul yang dibahaskan termasuklah E-Sukan Wajar Diiktiraf Sebagai Sukan Rasmi Sekolah, Kitar Semula Perlu Dijadikan Subjek Teras, Kesejahteraan Mental Memperkasakan Pendidikan Negara, dan Lantikan Warden Tentera Solusi Isu Buli.
Pertembungan idea antara para pendebat bukan sahaja menguji keberanian dan kematangan berfikir, malah melatih mereka berhujah dengan fakta yang kukuh, berfikir secara kritis serta menyampaikan hujah dengan penuh keyakinan.
Panel hakim yang dilantik terdiri daripada guru-guru profesional seluruh Malaysia, sekali gus memastikan pertandingan diadili secara adil, telus dan berwibawa.
Penglibatan guru-guru ini juga melambangkan pengiktirafan terhadap peranan pendidik dalam melahirkan generasi pendebat yang mampu menjadi pemimpin masa depan negara.
Sebagai pengisian tambahan, Pusat Pendidikan Dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM turut diberikan mandat oleh JPNPP untuk mengendalikan Bengkel Literasi Tenaga dan Teknologi Hijau.
Sesi perkongsian ilmu tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Penyelidik CETREE merangkap Penyelidik CGSS, Dr. Mohd Sukri Shafie yang menekankan topik utama seperti Kecekapan Tenaga, Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Hijau.
Perkongsian tersebut disambut baik dengan interaksi aktif peserta yang mengajukan soalan serta pandangan, memperlihatkan kesungguhan mereka untuk memahami isu-isu kelestarian tenaga.
Selain itu, CETREE juga mengendalikan aktiviti hands-on yang berbentuk eksplorasi Teknologi Hijau seperti Celik Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau, Jenis-Jenis Solar, Jenis-Jenis Mentol, dan Cuba Jaya Ecobrick.
Aktiviti tersebut yang memberi peluang kepada peserta mengalami pembelajaran secara praktikal, diakhiri dengan sesi refleksi yang dikendalikan oleh Ketua Sekretariat CETREE, Syafiq Saifullah Azmi.
Sesi refleksi tersebut memberi ruang kepada murid menilai pengalaman yang diperoleh serta merancang perkongsian ilmu di sekolah dan komuniti masing-masing.
Majlis penutup bengkel turut disempurnakan dengan penyampaian cenderahati kepada pemenang aktiviti hands-on oleh Mohd Sukri, diiringi oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Kokurikulum), JPNPP, Sugumaran A/L M. Kathrasan.
Kemuncak program diserikan dengan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada malam 10 September 2025 di The Tamarra by Irama Dining, Georgetown, Pulau Pinang.
Majlis gilang-gemilang tersebut turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM yang turut Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Ahmad Haridan Hj. Mohamed; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid mewakili Pengarah Pendidikan JPN Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim; Timbalan Pengarah CGSS, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo; serta Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Ts. Khoo Boo Woi.
Turut hadir ialah pegawai kanan JPNPP, wakil Pejabat Pendidikan Daerah, pengurusan CGSS dan CETREE, serta agensi-agensi kolaboratif lain yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran ini.
Kehadiran mereka mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh budaya debat, literasi tenaga, dan agenda kelestarian di peringkat kebangsaan.
Secara keseluruhannya, Pertandingan Debat Generasi MADANI 2025 telah membuktikan bahawa debat bukan sekadar sebuah pertandingan intelektual, tetapi juga platform pembangunan modal insan yang menyatukan pendidikan dan kelestarian.
Program berskala kebangsaan itu mampu melahirkan generasi muda yang berani bersuara, bijak berhujah, berilmu, serta prihatin terhadap masa depan negara.
Dengan sinergi antara KPM, JPNPP, USM, CGSS dan CETREE, pertandingan tersebut menjadi titik tolak penting dalam membina generasi MADANI yang berwawasan dan berdaya saing, ke arah Malaysia yang lebih mampan.
Teks & Foto: Syafiq Saifullah Azmi, CGSS, USM
- Created on .
- Hits: 155