USM LANCAR APLIKASI CAKNASTROK, PERKASA PENJAGAAN PESAKIT STROK MELALUI PENDEKATAN DIGITAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) terus menerajui inovasi kesihatan digital dengan melancarkan aplikasi mudah alih CaknaStrok, yang dibangunkan khas bagi memperkasa penjagaan pesakit strok serta memberi sokongan holistik kepada penjaga melalui pendekatan teknologi m-Health yang mesra pengguna, selamat dan berasaskan bukti saintifik.
Aplikasi ini merupakan hasil penyelidikan pasukan CaknaStrok yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Imran Musa, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Doc2US, London School of Hygiene and Tropical Medicine (UK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Medical Research Council (UK), Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta Malaysia Stroke Council (MSC).
Pembangunan aplikasi ini turut disokong melalui pembiayaan ‘Newton-Ungku Omar Fund’ dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, pembangunan aplikasi CaknaStrok bermula pada tahun 2020 menerusi kajian bertajuk "A Scalable Solution for Supporting Informal Stroke Caregivers in Malaysia", yang meneliti cabaran sebenar yang dihadapi oleh penjaga pesakit strok di Malaysia termasuk tekanan emosi, bebanan fizikal, kekangan masa, dan akses kepada maklumat kesihatan yang sahih.
"Ramai penjaga memerlukan satu sumber rujukan yang dipercayai dan mudah difahami, terutama untuk membantu mereka mengurus pesakit strok di rumah secara berkesan.
“Justeru, pendekatan berasaskan bukti serta pembangunan yang berpusatkan pengguna menjadi asas utama pembangunan aplikasi ini," jelasnya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Aplikasi CaknaStrok, hari ini.
Tambah Wan Rosli, aplikasi ini dibangunkan melalui tiga (3) fasa utama iaitu penyediaan kandungan modul pendidikan strok secara mikro-pembelajaran dan video, ujian kebolehgunaan di hospital terpilih, serta pengembangan teknologi meliputi integrasi peringatan ubat, panduan senaman terapi, sokongan emosi dan fungsi komunikasi dengan doktor melalui platform ‘Doc2US’.
“CaknaStrok juga menitikberatkan aspek keselamatan dan privasi data pengguna dengan penggunaan protokol keselamatan bertaraf industri serta pematuhan terhadap peraturan perlindungan data Malaysia.
“Antara fungsi utama aplikasi ini termasuklah panduan penjagaan harian pesakit strok (pemakanan, postur, kebersihan); video fisioterapi dan terapi pertuturan; peringatan ubat dan janji temu; modul kesihatan mental; pautan kepada perkhidmatan kesihatan; serta direktori nombor kecemasan.
“Walaupun direka khusus untuk komuniti strok, aplikasi ini juga berguna untuk orang awam dalam aspek pencegahan dan kesedaran kesihatan neurologi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Projek Inisiatif CaknaStrok, Profesor Dr. Kamarul Imran Musa pula berkata, inisiatif untuk membangunkan aplikasi CaknaStrok ini adalah susulan penyakit strok yang merupakan penyakit kardiovaskular kedua tertinggi di Malaysia dengan bilangan sekitar 2,000 hingga 3,000 pesakit strok baharu setiap tahun di seluruh negeri.
“Kebanyakan pesakit hanya mendapatkan rawatan dalam tempoh yang singkat di hospital sebelum dibenarkan pulang.
“Sebaik sahaja pulang ke rumah, ia sepenuhnya menjadi tanggungjawab penjaga yang kebanyakan mereka tidak mengetahui cara penjagaan pesakit yang betul,” terangnya.
Berdasarkan dapatan awal analisis kebolehlaksanaan yang dijalankan terhadap aplikasi ini membuktikan bahawa CaknaStrok mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan akses maklumat dan kesinambungan penjagaan dari hospital ke rumah, serta berpotensi diperluas penggunaannya ke seluruh negara.
Aplikasi CaknaStrok kini boleh dimuat turun secara percuma di ‘Google Play Store’ dan ‘Apple App Store’.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha; dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin manakala Ketua Pegawai Eksekutif Doc2Us, Dr. Raymond Chao dan wakil International Stroke Rehab and Recovery Alliance, Profesor Madya Dr. Suresh Kamalakannan turut menyertai secara maya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 59