USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PNGK 4.0: AUTISM BUKAN PENGHALANG MUHAMMAD FAEIZ JADI TERBILANG

USM PULAU PINANG, 26 September 2025 – Disahkan menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD) tahap ringan dan memegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah penghalang untuk tampil terbilang, khususnya dalam pencapaian akademik.

4B5BD9C6 2FE4 4809 8D0B 9C37ADAEE5AE

Muhammad Faeiz Danieall Mohamad Farid, 19, membuktikan bahawa kelainan upaya bukan halangan untuknya mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 ketika mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi, seterusnya menjejakkan kaki ke universiti idamannya, Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau merupakan salah seorang daripada 4,236 pelajar yang hadir dalam sesi pendaftaran pelajar baharu USM Sidang Akademik 2025/2026 yang bermula hari ini sehingga Ahad depan.

Anak sulung daripada empat beradik itu hadir ditemani kedua ibu bapanya serta adik-adik yang turut berkongsi keterujaan atas pencapaian luar biasa insan kesayangan mereka dalam menimba ilmu pengetahuan ke peringkat tertinggi.

Muhammad Faeiz berkata, beliau tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran di USM dan berharap dapat menyesuaikan diri dalam suasana baharu yang sedikit jauh daripada keluarganya yang menetap di Jitra, Kedah.

“Walaupun saya teruja dan gembira dapat belajar di USM, namun pada masa sama agak gementar kerana ia adalah satu pengalaman baharu,” katanya yang bercita-cita bergelar pensyarah Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, ibunya, Farah Nurulliza Mohd Najib, 42, berkata anak sulungnya itu ternyata mempunyai semangat luar biasa dan sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua perkara yang dilakukan.

“Sememangnya ada beberapa perkara yang menggusarkan saya untuk ‘melepaskan’ Muhammad Faeiz di sini, namun dengan adanya sokongan orang sekeliling dan kampus USM yang mesra OKU, ia agak sedikit melegakan.

“Saya ada membuat sedikit kajian dan mendapati USM antara universiti yang mesra OKU serta mempunyai sistem sokongan untuk mereka mengikuti pengalaman pembelajaran yang kondusif, sama seperti pelajar lain,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa walaupun ini bukan kali pertama anaknya tinggal di asrama, beliau dan suami tetap mempunyai kebimbangan tertentu, terutamanya pada peringkat awal sementara anaknya itu dapat menyesuaikan diri.

Namun, walau apa pun, ujarnya, beliau dan suami akan memantau rapat perkembangan anak mereka dan percaya Muhammad Faeiz akan dapat mencari rentaknya walaupun mempunyai cabaran tersendiri sebagai penghidap autism dan bersifat sedikit introvert.

Muhammad Faeiz dan ibunya ditemu bual dalam sidang media sempena sesi pendaftaran pelajar baharu USM yang dipengerusikan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, di sini hari ini.

870F15E6 61E0 47EC A345 71093BC67799

Dalam sidang media itu juga, Abdul Rahman berkata seramai 4,236 calon daripada puluhan ribu pemohon program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) melalui sistem UPU (Saluran Perdana) berjaya ditawarkan tempat di USM.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, 3,378 ditempatkan di Kampus Induk, 919 pelajar di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, manakala 639 lagi di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau turut menegaskan bahawa USM sentiasa memberi perhatian kepada golongan OKU dalam usaha merealisasikan impian mereka memperoleh ijazah dari USM. Sebanyak 17 calon OKU ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus.

“Pelajar-pelajar ini akan menikmati kemudahan kelas pertama di Desasiswa Aman Damai yang dilengkapi fasiliti mesra OKU seperti tandas khas, platform kerusi roda serta parkir kenderaan berhampiran bilik kediaman mereka,” ujarnya.

Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 408

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025