USM PERKUKUH HUBUNGAN INDUSTRI DAN KEMUDAHAN KAMPUS DEMI MASA DEPAN PELAJAR

USM PULAU PINANG, 25 September 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sahaja dikenali sebagai universiti penyelidikan dan satu-satunya Universiti APEX di Malaysia, tetapi juga sebagai sebuah institusi yang sentiasa bergerak maju, menyesuaikan diri dengan keperluan industri dan masyarakat.


Kepada pelajar baharu, selamat datang! Esok anda akan memulakan perjalanan di sebuah universiti yang percaya bahawa kejayaan akademik harus seiring dengan kehidupan kampus yang luar biasa. Di sini, kami tidak hanya membentuk graduan berkualiti global, tetapi kami juga memberi perhatian penuh kepada keselesaan dan kesejahteraan anda.



Melalui jaringan industri yang kukuh, USM telah memperkasakan konsep Industry On Campus melalui hubungan strategik dengan pelbagai sektor utama seperti Elektronik & Elektrik (E&E), farmaseutikal, teknologi hijau, dan kejuruteraan bahan.
Kolaborasi ini memberi peluang luas kepada pelajar untuk menyertai latihan industri, penyelidikan bersama industri, dan pembangunan kemahiran profesional yang sebenar.

Antara inisiatif utama ialah Makmal Kolaborasi Industri E&E USM, hasil kerjasama dengan syarikat gergasi global seperti Intel, Infineon Technologies, dan Keysight Technologies.
Di samping itu, pelajar juga berpeluang memperoleh sijil profesional yang ditawarkan oleh pihak industri dari masa ke semasa.
Melalui platform ini, pelajar bukan sahaja mendapat pendedahan teknologi terkini, malah berpeluang menyelesaikan cabaran dunia sebenar, menjadikan mereka lebih bersedia untuk pasaran kerja selepas graduasi nanti.



Di samping itu, kemudahan fasiliti kampus yang dinaik taraf turut dilakukan bagi memastikan pelajar dapat menikmati suasana pembelajaran yang kondusif antaranya termasuk:
- Penginapan pelajar (desasiswa) yang dinaik taraf dengan kemudahan moden bagi menampung peningkatan jumlah pelajar baharu.
- Kemudahan pengangkutan dalam kampus yang dipertingkatkan untuk pergerakan lebih lancar dan mesra alam.
- Ruang pembelajaran dan makmal penyelidikan yang dilengkapi teknologi terkini bagi menyokong keperluan akademik dan penyelidikan.
- Fasiliti sukan, rekreasi, dan komuniti yang dipertingkat untuk memastikan keseimbangan akademik dan gaya hidup sihat.



Inisiatif ini mencerminkan komitmen USM untuk mewujudkan persekitaran kampus yang bukan sahaja selamat dan selesa, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk berkembang dari segi akademik, sahsiah, dan kepimpinan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menegaskan bahawa keunikan USM adalah pendekatan holistik dalam melahirkan graduan.

“Kolaborasi erat USM dengan rakan industri, ditambah pula dengan kemudahan kampus yang dipertingkat, memastikan graduan kami benar-benar bersedia menghadapi cabaran global serta menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
USM bukan sekadar sebuah universiti, tetapi sebuah komuniti ilmu dan kehidupan yang meraikan potensi setiap pelajar.
Dengan reputasi global, jaringan industri kukuh, dan kemudahan kampus yang semakin moden serta selesa, USM adalah tempat terbaik untuk anda membina masa depan.

Selamat datang ke USM - di sinilah perjalanan anda sebagai pemimpin masa depan bermula.
Teks: Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM/ Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, MPRC & Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, USM
- Created on .
- Hits: 382