USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUT ULANGTAHUN KE-20: ICOL KEKAL RELEVAN SEBAGAI PLATFORM DISKUSI PERKEMBANGAN DUNIA KEPUSTAKAWANAN GLOBAL

e7b3ba48 1eb3 426a b3d0 e2d83dd6638b

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 23 September 2025 – Persidangan Antarabangsa Perpustakaan (ICOL) 2025 pada tahun ini tampil lebih istimewa kerana meraikan ulang tahun penganjurannya yang ke-20.

Menjadi lebih bermakna, ICOL sehingga kini berjaya mengekalkan reputasi sebagai platform pertemuan antarabangsa yang konsisten, berkesan, dan terus relevan dengan perkembangan dunia kepustakawanan global.

4f353650 0529 48c8 b0ac 018ae122d545

Bertemakan “Towards Sustainable Future Libraries”, ICOL 2025 anjuran Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) memberi tumpuan kepada isu-isu besar yang dihadapi perpustakaan masa kini.

a006732e e047 4d76 8e88 a1fbae4de0a3

Ia termasuk melihat bagaimana institusi ilmu dapat terus kekal relevan, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, keperluan pembelajaran baharu dan cabaran global yang semakin kompleks.

5c6302b8 a104 4381 b3f8 d7bd12298d37

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab yang hadir mewakili Naib Canselor USM berkata, sejarah membuktikan perpustakaan telah menjadi institusi utama yang berperanan dalam memelihara khazanah ilmu pengetahuan serta menyuburkan pertumbuhan intelektual.

“Namun pada masa kini, kita berada di satu fasa yang mana perpustakaan berdepan cabaran getir kerana ia bukan sahaja dituntut untuk melestarikan warisan silam, malah turut dipanggil untuk memimpin masyarakat menuju masa hadapan.

f4c12d1a 9514 4bc4 890a ce9f5c677508

“Justeru, persoalan besar yang perlu kita renungkan bersama ialah bagaimana perpustakaan mampu muncul sebagai pemangkin kepada pembangunan mampan, inovasi serta kemajuan inklusif dan saya yakin, ICOL 2025 dapat mencari jawapan kepada cabaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian ICOL 2025 yang berlangsung di Hotel Ascott Gurney, di sini hari ini.

5cef1ebc 206f 474f 907b 3c323e790c0e

8eb7891c c054 4006 b426 8bac4e586d3f

70a469fb ae42 4dfb 8573 dd14189ce30f

ICOL 2025 menghimpunkan ratusan peserta dari kalangan pustakawan, penyelidik, ahli akademik, pelajar pascasiswazah, pembuat dasar serta pemain industri maklumat dari serata dunia.

Selaras dengan tema persidangan, ICOL 2025 menyediakan ruang wacana yang bermakna bagi membincangkan bagaimana perpustakaan boleh berfungsi sebagai hab dinamik dalam penciptaan ilmu, memperkukuh kerjasama, serta mempromosikan keterbukaan.

Secara keseluruhannya, ICOL 2025 tidak hanya menjadi platform untuk membentangkan penyelidikan dan perkongsian amalan terbaik, tetapi juga ruang strategik untuk membina perpustakaan masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya saing.

9297ff9f 3662 4cd6 b9f8 886becf39aff

Melalui wacana ilmiah, pembentangan penyelidikan, serta pameran teknologi dan penerbitan terkini, ICOL 2025 diyakini akan memberikan impak positif bukan sahaja kepada komuniti perpustakaan di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

be6b8abb 95f2 42d7 beb0 7f10b5e897e6

Antara yang turut hadir di majlis perasmian termasuk Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) and Pro-Canselor Management and Science University (MSU), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (Penyampai Ucaptama); Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob; Ketua Kurator, Southeast Asia Section, British Library, London, Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop (Penyampai Ucaptama); Timbalan Pengarah, Open Science and Research Services, Nanyang Technological University Library, Singapore, Goh Su Nee (Penyampai Ucaptama); dan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan USM yang juga Pengerusi ICOL 2025, Radia Banu Jan Mohamad.

Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 264

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025