USM DAN PSDC JALIN KERJASAMA LATIHAN TEKNOLOGI REKABENTUK LITAR BERSEPADU DIGITAL MENGGUNAKAN TEKNOLOGI FINFET
PULAU PINANG, 21 September 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoA) dan Perjanjian Kerahsiaan (NDA) bersama Penang Skills Development Centre (PSDC) sempena peluncuran jenama FutureTech Academy di Auditorium PSDC, Bayan Lepas, di sini semalam.
Kerjasama ini memfokuskan kepada pembangunan modul latihan rekabentuk litar bersepadu (IC) digital menggunakan teknologi transistor FINFET 16nm ia itu satu teknologi canggih yang digunakan dalam penghasilan cip berprestasi tinggi berskala nanometer.
Modul bakal digunakan untuk melatih jurutera industri dan pelajar institusi pengajian tinggi dalam penggunaan peralatan EDA serta kit pembangunan proses (PDK).
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang turut hadir pada majlis tersebut, menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif CEDEC.
“Inisiatif ini adalah satu langkah strategik yang selari dengan visi USM dalam memperkasa pembangunan bakat tempatan serta menyokong ekosistem rekabentuk IC negara.
“CEDEC membuktikan keupayaan USM sebagai pemacu teknologi dan inovasi berimpak tinggi,” ujar beliau lanjut.
Kolaborasi ini juga dilihat mampu menyokong peralihan Malaysia ke arah inisiatif berimpak tinggi dalam sektor semikonduktor, membina tenaga kerja mahir dan berdaya saing serta memenuhi permintaan industri global dalam bidang seperti AI, 5G, IoT, automotif pintar dan elektronik pengguna.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow, Pengerusi PSDC, Dato’ Solomon Lorthu serta wakil-wakil industri dan akademia.
Teks & Foto: Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf/ Suntingan: Prof. Madya Shaikh Abdul Malik Mohamed Ismail
- Created on .
- Hits: 228