USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PRIHATIN: SALUR BANTUAN REALISASIKAN IMPIAN PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN KE MENARA ILMU

USM PULAU PINANG, 20 SEPTEMBER 2025 - Pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Darwina Qismina Azri, 19, menzahirkan rasa syukur apabila menjadi antara penerima pembiayaan pendidikan di bawah Program Siswa Sulung Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2025/2026.

6DC427DB 47AD 4670 91C3 3FC440E01368

Beliau juga merupakan generasi pertama daripada keluarganya yang melanjutkan pengajian ke universiti dan dijadualkan melapor diri di USM pada 28 September depan bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris untuk Profesional dengan Kepujian.

Anak keempat daripada enam beradik itu menyifatkan bantuan yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban kewangan ibunya yang hanya bekerja mengambil upah menconteng batik untuk menyara keluarga.

“Saya sangat berterima kasih kepada USM kerana banyak membantu untuk urusan pendaftaran dan sebagainya serta membantu meringankan kewangan kami sekeluarga. Lagipun sekarang saya banyak bergantung kepada abang yang sedang bekerja untuk saya sambung belajar,” ujarnya.

Darwina sangat teruja dapat melanjutkan pengajian di USM yang juga universiti impiannya, dan menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang amat bermakna buat dirinya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed terdahulu berkata, USM memperuntukkan RM2,800,000.00 bagi menyokong 280 Siswa Sulung iaitu pelajar generasi pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, inisiatif ini mencerminkan usaha USM yang sentiasa komited dalam memperkukuh agenda pendidikan inklusif dan mampan serta memastikan akses pendidikan yang adil kepada pelajar kurang berkemampuan.

Melalui Siswa Sulung, USM menanggung sepenuhnya yuran pengajian termasuk yuran pendaftaran, yuran berulang dan yuran akademik lain selain yuran penginapan sepanjang tempoh empat tahun pengajian, sekali gus dapat meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Selain bantuan sokongan akademik dan kewangan, bermula 26 September 2025, USM juga akan menyediakan keperluan penginapan iaitu Kit Keperluan Asas kepada pelajar baharu bagi memudahkan proses kemasukan ke desasiswa tanpa perlu membeli barangan asas yang lain.

Malah, USM turut memperkenalkan Modul Pembangunan Insaniah Siswa Sulung yang merangkumi sembilan modul. Ia bertujuan untuk melengkapkan setiap pelajar dengan daya tahan, kepimpinan, sahsiah, literasi kewangan dan penglibatan komuniti yang proaktif selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam melahirkan pelajar berintegriti dan berdaya saing.

Abdul Rahman juga menegaskan, USM sebagai sebuah universiti yang mesra warganya sentiasa memberi peluang sama rata kepada semua pelajar termasuk mereka daripada latar belakang yang kurang berkemampuan.

“Melalui pendekatan sokongan holistik ini menunjukkan universiti sentiasa berusaha untuk mengurangkan cabaran kewangan serta membina kekuatan sahsiah dan kemahiran insaniah yang bukan sahaja memberi kejayaan kepada pelajar di kampus malah masa depan mereka,” katanya.

Teks : Anis Ariney Mohd Asri/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni

  • Created on .
  • Hits: 240

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025