A’JWAA TERUJA SERTAI USM BERSAMA KEMBAR: SOKONGAN SISWA SULUNG RINGANKAN BEBAN KELUARGA
USM PULAU PINANG, 20 September 2025 – Menyambung pengajian ke universiti bersama pasangan kembar merupakan pengalaman manis yang jarang dinikmati, lebih-lebih lagi apabila Nur A’jwaa Abdulhadi, anak ketiga daripada tujuh beradik, turut terpilih menerima bantuan penuh sebagai pelajar Siswa Sulung di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2025/2026.
Lebih membanggakan, A’jwaa merupakan antara penerima bantuan menerusi inisiatif Program Siswa Sulung USM, yang menyasarkan pelajar generasi pertama dalam keluarga B40 untuk menerima sokongan kewangan, kebajikan, dan insaniah sepanjang tempoh empat tahun pengajian.
USM memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi membantu 280 pelajar Siswa Sulung yang layak, membuktikan komitmen universiti dalam menyediakan akses pendidikan tinggi yang adil, menyeluruh dan lestari kepada semua lapisan masyarakat.
Menerusi inisiatif ini, pelajar menikmati pengecualian penuh yuran pengajian, yuran pendaftaran, yuran berulang serta pelbagai yuran akademik lain, sekali gus membolehkan mereka menumpukan sepenuhnya terhadap pembelajaran tanpa bebanan kewangan.
USM turut menyediakan Kit Keperluan Asas seperti bantal, cadar, sabun dan detergen kepada pelajar baharu untuk memudahkan proses transisi ke kediaman kampus dengan lebih selesa tanpa perlu mengeluarkan kos sendiri.
Sebagai tambahan, saluran komunikasi khusus menerusi WhatsApp Unit Kebajikan Pelajar di 019-8408985 turut diwujudkan bagi memberikan sokongan segera kepada pelajar Siswa Sulung sepanjang tempoh pendaftaran dan awal pengajian.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menegaskan bahawa inisiatif menyeluruh ini mencerminkan falsafah USM dalam membina sebuah ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan lestari.
Menurut beliau, “Sebagai sebuah universiti bersifat mesra warganya, USM memberi peluang sama rata kepada semua pelajar, terutama mereka yang berasal dari latar belakang kurang berkemampuan; melalui pendekatan sokongan holistik ini, kami berusaha mengurangkan cabaran kewangan, dan membina kekuatan sahsiah dan kemahiran insaniah yang akan memacu kejayaan mereka semasa di kampus dan masa hadapan.”
A’jwaa menzahirkan rasa syukur kerana dapat mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan di USM dan merealisasikan impian bersama pasangan kembar, yang juga menjadi penyokong terdekatnya dalam perjalanan akademik ini.
Beliau merupakan lepasan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Pongsu Seribu dengan pencapaian PNGK 3.88 setelah menamatkan pengajian selama dua tahun di sana.
Walaupun berdepan pelbagai kekangan kewangan dan cabaran kehidupan, A’jwaa dan kembarnya tetap menunjukkan prestasi cemerlang sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di USM, dan kini berharap bantuan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya serta memberi inspirasi kepada adik-beradik dan komuniti sekeliling.
Sumber: Cik Sheilawanis Abdul Karim (BHEPA)/Teks: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 334