USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT PENYELIDIKAN DADAH DAN UBAT-UBATAN USM PACU PENYELIDIKAN KETUM, SEDIA JADI PAKAR RUJUK

WhatsApp Image 2025 09 23 at 12.08.19 PM

USM PULAU PINANG, 19 September 2025 – Dengan status sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE), Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (CDR), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memacu agenda penyelidikan strategik dan berimpak, khususnya dalam bidang ketum (Mitragyna speciosa).

CDR USM merupakan pusat penyelidikan terkemuka yang sekian lama menjalankan kajian ketum dan sehingga kini telah menerbitkan lebih 150 penerbitan ilmiah, menjadikannya antara yang tertinggi di dunia.

Pengarah CDR USM, Profesor Dr. Vikneswaran Murugaiyah berkata, kajian ketum mula dijalankan sekitar tahun 2009 dan berkembang melalui pendekatan rentas disiplin yang menyepadukan farmakologi, toksikologi, kimia analisis, sains klinikal, dasar kesihatan dan sains sosial.

WhatsApp Image 2025 09 23 at 12.08.19 PM2

Katanya, dengan kepakaran teras, kumpulan penyelidik berkomitmen tinggi serta kemudahan makmal bertaraf antarabangsa, CDR USM konsisten menerajui penjanaan data saintifik yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada negara.

“CDR USM bersedia membuka peluang kolaborasi dengan pelbagai pihak, khususnya dalam memperkasa hubungan akademia, industri, dan pembuat dasar bagi mengurangkan jurang sedia ada.

“Kita berharap lebih banyak pihak peka dengan kewujudan CDR USM yang sentiasa bersedia menjadi rujukan dan dilibatkan dalam sebarang isu yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan ketum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penganjuran Kratom Updates 2025 dengan kerjasama Badan Riset dan Inovasi Nasional, Indonesia dan Prince of Songkla University, Thailand.

Menurut Dr. Siti Rafidah Yusof dan Professor Madya Dr. Darshan Singh yang juga merupakan ahli jawatankuasa penganjur, Kratom Updates yang dianjurkan buat kali kedua menyediakan platform saintifik yang menghimpunkan saintis dari Malaysia, Thailand dan Indonesia untuk memperkukuh kerjasama serta berkongsi penemuan penyelidikan terkini mengenai ketum.

Persidangan tersebut akan berlangsung selama dua hari di Bali, Indonesia pada bulan Oktober akan datang, dengan penyertaan kira-kira 70 peserta.

Pelbagai topik akan dibincangkan, termasuk penggunaan tradisional ketum, aspek kimia, neurosains, farmakologi, serta isu-isu kesihatan yang berkaitan.

Tambah Vikneswaran, dengan pendekatan penyelidikan holistik dan rentas bidang, CDR USM memiliki rekod penyelidikan cemerlang dengan pandangan saintifik yang lebih komprehensif.

WhatsApp Image 2025 09 23 at 12.08.20 PM1

Katanya lagi, CDR USM turut diiktiraf oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai perintis utama dalam kajian ketum di rantau ini, selain menerima pelbagai geran tempatan dan antarabangsa.

Pusat penyelidikan yang ditubuhkan pada 1978 itu juga memperkaya ekosistem ilmu melalui penerbitan berwasit, pemindahan teknologi serta penggubalan cadangan berasaskan bukti bagi menyokong kerangka peraturan dan intervensi kesihatan awam.

“Kami berharap melalui jaringan kolaborasi tempatan dan antarabangsa serta latihan bakat penyelidikan, CDR USM akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rujukan antarabangsa dalam penyelidikan ketum,” ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia seharusnya mampu menjadi pemain utama dalam penyelidikan ketum memandangkan kedudukan geografi negara ini yang unik serta kaya dengan biodiversiti dan habitat semula jadi tumbuhan tersebut.

Selain itu, CDR USM yang menjadi antara perintis awal kajian ketum turut berupaya menerajui standard kualiti, kaedah analitik, serta garis panduan keselamatan dan klinikal.

“Dari aspek kesihatan awam, bukti saintifik tempatan melalui kajian yang dijalankan dapat menyokong dasar berasaskan data untuk pencegahan risiko, rawatan ketagihan, dan potensi aplikasi terapeutik yang selamat.

“Kita juga perlu mengambil peluang melaksanakan pembangunan bakat dan reputasi, dengan memperkukuh ekosistem R&D bagi menarik kolaborasi global, dana penyelidikan serta pelaburan berimpak tinggi,” jelasnya lagi.

Teks: Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (CDR), USM

  • Created on .
  • Hits: 153

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025