USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK USM MENANG PINGAT EMAS DAN ANUGERAH KHAS KANADA DI iCAN 2025

USM PULAU PINANG, 13 September 2025 – Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) berbangga meraikan kejayaan cemerlang Profesor Madya Dr. Mohd Mahadi Halim bersama pelajar Ph.Dnya, Kevin Ooi Zheng yang berjaya meraih Pingat Emas di pertandingan berprestij International Invention Innovation Competition in Canada (iCAN 2025) yang berlangsung secara dalam talian di Toronto, Kanada pada 1 September 2025.

WhatsApp Image 2025 09 19 at 16.07.45 309be18b

Inovasi yang bertajuk “Violet Random Laser from Cost-Effective Zinc Oxide Nanorods” turut menerima pengiktirafan istimewa melalui Canadian Special Award oleh Innovation Initiative Co-operative Inc. “The Inventors Circle”.

WhatsApp Image 2025 09 19 at 16.07.44 8c5a6e22

Projek inovatif tersebut meneroka penggunaan nanorod zink oksida sebagai bahan aktif untuk menghasilkan laser rawak dengan kos efektif, yang mempunyai potensi besar sebagai peranti fotonik generasi baharu, pengimejan bioperubatan, serta aplikasi keselamatan.

WhatsApp Image 2025 09 19 at 16.07.44 d05115c0

Inovasi ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti dan kecemerlangan saintifik, malah membuka jalan kepada teknologi baharu laser yang lebih mampan dan berdaya saing untuk dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat global.

WhatsApp Image 2025 09 19 at 16.07.44 ddc171ee

Mohd Mahadi menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan ini sambil menghargai dedikasi pelajarnya, Kevin Ooi, serta sokongan padu daripada Pusat Pengajian Sains Fizik dan pihak Universiti.

Katanya, “Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan, kerjasama dan inovasi yang sentiasa dipupuk di USM, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).”

“Kami berbangga dapat menyumbang penyelidikan bermakna yang memberi impak kepada masyarakat dan menjadi inspirasi kepada generasi muda di Malaysia dan seluruh dunia untuk terus berani meneroka sempadan sains dan teknologi,” tambahnya.

iCAN, yang dianjurkan setiap tahun di Toronto, Kanada merupakan salah satu platform global utama untuk para pencipta dan inovator, dengan penyertaan dari lebih 80 negara untuk tahun ini.

Kemenangan di iCAN menandakan pengiktirafan bertaraf antarabangsa yang tertinggi, sekali gus menyerlahkan keupayaan penyelidik USM dalam memacu pengetahuan dan inovasi teknologi ke hadapan.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Sains Fizik, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 156

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025