USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN PERDA PERKUKUH SINERGI PACU PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI PULAU PINANG

 

IMG-20250918-WA00591.jpg

USM PULAU PINANG, 18 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan komitmen tinggi bagi menjayakan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dalam memperkasa agenda pembangunan sosioekonomi negeri, khususnya bagi memperkukuh daya saing usahawan luar bandar.

79654

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan, kerjasama strategik USM dan PERDA bukan sekadar inisiatif ekonomi semata-mata, tetapi turut mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) yang menjadi teras Universiti.

IMG-20250918-WA00581.jpg

“PERDA bukan sahaja berperanan membangunkan masyarakat luar bandar, malah menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan daya saing usahawan serta menjana ekonomi setempat melalui pendekatan inovatif dan lestari.

“USM percaya bahawa gabungan kepakaran penyelidikan dan teknologi universiti dengan keupayaan PERDA akan membentuk sinergi yang memberi impak nyata kepada pembangunan negeri,” katanya.

IMG-20250918-WA00521.jpg

 

IMG-20250918-WA00541.jpg

Sebagai permulaan, dua projek rintis telah dilaksanakan di bawah kerjasama ini:

  1. Jeruk Madu Pak Ali (PERDA) – Projek R&D yang memanfaatkan sisa kulit buah-buahan untuk menghasilkan baja organik bernilai tambah diterajui oleh Dr. Muaz Mohd Zaini Makhtar dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM.
  2. IMTANOMIC Sdn. Bhd. (Spin-off USM) – Usaha mengkomersialkan produk berasaskan rumpai laut dengan sokongan PERDA, khususnya dalam pembangunan pembungkusan yang lebih menarik dan berdaya pasaran, diketuai oleh Profesor Madya Dr. Majid Khan Majahar Ali dari Pusat Pengajian Sains Matematik, USM.

Kedua-dua projek ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, malah menyokong SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 14 (Hidupan di Laut), di samping mematuhi agenda ESG dalam inovasi hijau, penglibatan komuniti dan tadbir urus lestari.

IMG-20250918-WA00601.jpg

Abdul Rahman turut menegaskan, kerjasama ini memperkukuh ekosistem universiti–industri–komuniti yang menyeluruh dan diyakini mampu meningkatkan produktiviti, menambah nilai sumber tempatan, memperkasa keusahawanan, dan seterusnya melonjakkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

79656

“Melihat kejayaan awal ini, USM percaya ruang kerjasama akan terus diperluas dengan mengaplikasikan lebih banyak teknologi penyelidikan USM untuk kegunaan PERDA, sejajar dengan agenda SDG dan ESG. Ini bukan sahaja memanfaatkan usahawan, malah membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan dan lestari,” jelasnya.

IMG-20250918-WA00651.jpg

USM turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PERDA, Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin atas kesudian menjalin kerjasama strategik signifikan itu.

79655

79653

“Harapan kami ialah agar PERDA terus menjadi rakan strategik utama dalam membawa teknologi penyelidikan USM ke lapangan sebenar. Bersama-sama, kita boleh menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh terbaik bagaimana inovasi, penyelidikan dan teknologi dapat menyokong pembangunan usahawan serta komuniti, selaras dengan aspirasi SDG dan ESG,” tambah beliau.

Teks: Pusat Inovasi & Perundingan (CiC), USM/Suntingan: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 243

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025