COSDEM 2025 JADI PEMANGKIN INISIATIF HIJAU NEGARA
NIBONG TEBAL, 12 September 2025 – Persidangan Conference on Sustainable Development through Education Malaysia (COSDEM) 2025 yang berlangsung di sini hari ini menekankan isu plastik sekali guna sebagai cabaran global yang perlu ditangani secara menyeluruh melalui pendidikan dan perubahan gaya hidup masyarakat.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu berkata, tema persidangan tahun ini iaitu “Combat Single Use Plastic” amat relevan dengan agenda kelestarian yang menjadi keutamaan bersama di peringkat negeri, negara, dan dunia.
“Isu plastik sekali guna merupakan ancaman besar kepada alam sekitar, kesihatan manusia, dan kesejahteraan generasi akan datang yang mana kajian menunjukkan berjuta tan plastik berakhir di lautan setiap tahun, sekali gus memberi kesan buruk kepada hidupan marin serta ekosistem bumi,” kata beliau.
Melalui tema ini, kita bukan sahaja menekankan pengurangan sisa, malah menyeru kepada perubahan minda dan gaya hidup dengan pendidikan sebagai kunci melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab, peka serta kreatif dalam mencari penyelesaian lestari,” katanya ketika merasmikan COSDEM 2025 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Beliau berkata usaha itu seiring dengan aspirasi dasar pembangunan Penang2030, selain komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan Iklim).
Selain itu, Sundarajoo turut menyeru guru dan pelajar untuk menjadi duta kelestarian dengan mengamalkan prinsip 3R (Reduce, Reuse, Recycle) serta menyebarkan mesej pengurangan penggunaan plastik sekali guna kepada masyarakat.
Sementara itu, mewakili Naib Canselor, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, sebagai Universiti APEX Malaysia, USM sangat menitikberatkan isu kelestarian sebagai identiti utama universiti.
Menurut beliau, komitmen USM ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila USM konsisten berada dalam senarai Times Higher Education Impact Rankings bagi Matlamat Pembangunan Mampan.
“Selain itu, Universiti turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Zero Waste Campus, penyelidikan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan teknologi hijau, dan pendidikan berasaskan kelestarian yang mana usaha ini membuktikan bahawa Universiti mampu menjadi ejen perubahan ke arah masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang, Khou Jerome merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam penganjuran COSDEM 2025.
“Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada pasukan Green Educators Workgroup (GREW), Universiti Sains Malaysia, serta rakan strategik termasuk pihak berkuasa tempatan, NGO, rakan korporat dan semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan COSDEM 2025 kali ini,” katanya.
COSDEM 2025 yang berlangsung kali ini berjaya menghimpunkan ahli akademik, pelajar, badan Kerajaan, dan wakil industri dalam usaha memperkukuh peranan pendidikan sebagai teras kepada pembangunan mampan negara.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 96