USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGARAH PPAG USM DILANTIK SEBAGAI AHLI MSjN OLEH PERDANA MENTERI

3279eb43 2eae 4012 a656 baf691ab13d1

USM PULAU PINANG, 10 September 2025 – Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon antara 17 ahli yang dilantik menganggotai Majlis Sejarawan Negara (MSjN) bagi tempoh dua tahun bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2027.

Penubuhan MSjN telah diluluskan melalui Memorandum Jemaah Menteri pada 24 Januari 2025 sementara keanggotaannya dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2025.

Seramai 17 ahli yang dilantik terdiri daripada 10 pakar sejarah, dua pakar arkeologi, dua pakar antropologi dan sosiologi serta masing-masing seorang wakil daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Stephen, pelantikan itu disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu digalas sepenuhnya sekaligus menyumbang kepada pembinaan sejarah negara.

e7c4c2e4 2597 4d8a a598 cfe5eb3ceda3

“Saya berasa sangat berbesar hati diberi penghormatan ini dan dilantik sebagai salah seorang ahli Majlis Sejarawan Negara,” katanya.

“Ini juga adalah satu amanah besar yang diberikan oleh kerajaan yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, MSjN berperanan untuk memastikan penemuan dan naratif sejarah negara daripada pelbagai pihak adalah sahih seterusnya perlu direkod dan diiktiraf selari dengan dasar negara untuk membangunkan identiti dan jati diri nasional yang kukuh.

Ia sejajar dengan dasar-dasar semasa yang turut menekankan pemeliharaan warisan agar ketepatan sejarah dalam wacana awam dapat dikekalkan demi pembangunan negara yang lebih aman.

“Penubuhan MSjN adalah satu entiti yang dapat mengawal selia pelbagai aspek termasuk kajian, rujukan sumber, penerbitan dan pendidikan sejarah negara sekaligus dapat mengekalkan keamanan dan perpaduan negara,” ujarnya.

Selain itu, PPAG USM juga adalah satu-satunya pusat penyelidikan arkeologi di Malaysia yang mempunyai barisan pakar serta kemudahan makmal terbaik.

Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam menjalankan kajian arkeologi, pusat ini telah menjana pelbagai data dan maklumat baharu berkaitan arkeologi dan sejarah awal negara.

61321dfe b6bd 4ef8 83a0 5009e3cf328a

Secara tidak langsung, kepakaran yang dimiliki turut membolehkan USM memberi khidmat nasihat dalam bidang arkeologi negara.

Stephen turut berharap dengan wujudnya MSjN, ia dapat membina sejarah negara yang lebih sahih demi menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama sekaligus dapat mewujudkan sebuah negara yang berilmu dan melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri nasional.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Foto: Arkib Negara Malaysia

  • Created on .
  • Hits: 275

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025