USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DARI SISA JADI SINAR: USM PERKUKUH PERANAN UNIVERSITI DALAM AGENDA KELESTARIAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan bahawa sisa bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu yang mengangkat nilai kitar semula, keprihatinan sosial, dan pemerkasaan komuniti melalui Program Lestari Linenice 2025: Dari Sisa ke Sinar.

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.46 f044d815

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.45 de019e7d

Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail berkata, usaha mengitar semula kain linen hospital menjadi produk baharu seperti beg, bekas pensel, dan kraftangan merupakan langkah bijak yang menyokong prinsip ekonomi kitaran.

“Pada zaman sekarang, isu alam sekitar dan kelestarian tidak lagi boleh dipandang ringan. Sektor tekstil adalah antara penyumbang utama kepada sisa pepejal dengan ribuan tan kain dibuang setiap hari di seluruh dunia.

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.45 4ed47537

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.47 7cc98668

“Konsep ‘Dari Sisa ke Sinar’ bukan sekadar tema, tetapi satu simbolik yang mendalam bagaimana sesuatu yang dianggap tidak berguna, boleh diberi peluang kedua untuk menjadi sesuatu yang indah dan bermakna,” katanya yang mewakili Pengarah Kampus merasmikan program tersebut, hari ini.

Tambah Aziah, program ini turut mengangkat konsep kelestarian dengan mengintegrasikan aspek sosial melalui penglibatan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

“Penyertaan mereka direalisasikan menerusi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta para pelajar daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sekali gus menjadikan program ini lebih bermakna dan inklusif.

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.47 0f4ad4ee

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.48 03f6b90b

“Kita tidak seharusnya meletakkan batas pada keupayaan mereka. Dengan ruang dan peluang, mereka juga boleh menyumbang kepada komuniti, membina keyakinan diri dan mungkin suatu hari nanti menjadi usahawan sosial dalam bidang kraftangan atau produk ‘upcycle’, dan inilah asas kepada pemerkasaan yang sebenar,” katanya.

“Program ini secara langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya, SDG 4: Pendidikan Berkualiti; SDG 8: Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan; dan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.48 6e21e9e7

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.49 e74e3240

Aziah turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya merangka satu program yang bukan sahaja praktikal tetapi juga berimpak tinggi dari sudut pendidikan, komuniti dan alam sekitar, khususnya kepada pasukan Projek Kain Linen Kelestarian Kampus yang diketuai oleh Dr. Zafirah Mohd Nor dengan kerjasama Pusat Transformasi OKU USM-MAIK (PTOKU USM-MAIK) di bawah pengurusan Dr. Zulkifli Abdul Rahim.

“Program ini juga turut menerima pembiayaan melalui Geran European Union hasil kolaborasi Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Profesor Madya Dr. Asyirah Abdul Rahim dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.48 1bf54735

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.49 def7644c

“Kejayaan program ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam menjayakan agenda kelestarian universiti dan saya berharap agar ia menjadi permulaan kepada gerakan yang lebih besar pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peserta yang mengikuti program tersebut, Nurul Azirah Abu Seman, 28, yang merupakan OKU pendengaran berkata, dia mula belajar menjahit daripada ibunya di Pengkalan Chepa sejak dua (2) tahun lalu.

“Daripada linen terpakai ini, saya mampu menyiapkan tempahan beg dari rumah dan menghasilkan tempahan baharu yang kebiasaannya mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan,” katanya.

WhatsApp Image 2025 09 08 at 12.27.46 ed972f8b

Turut hadir ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed; dan Ketua Pusat Transformasi OKU USM - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 132

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025