PELAJAR USM WAKILI MALAYSIA DALAM AYIMUN 2025
USM, PULAU PINANG, 2 September 2025 – Syabas dan tahniah diucapkan kepada Lakshmy Baskaran, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Patologi Pertuturan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), yang telah mengharumkan nama universiti dan negara apabila terpilih sebagai salah seorang wakil Malaysia serta ahli jawatankuasa dalam 18th Asia Youth International Model United Nations 2025 (AYIMUN 2025).
Program yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 29 Ogos 2025 baru-baru ini merupakan sebuah program yang menghimpunkan seramai 1,000 orang pemimpin muda dari 46 negara dunia untuk membuka ruang kepada mereka berkongsi pandangan dan pendapat dalam usaha menyelesaikan isu-isu semasa global.
Melalui proses pemilihan dan temu duga yang kompetitif, Lakshmy telah diberi kepercayaan memainkan peranan utama dalam pengurusan majlis rasmi, termasuk pendaftaran delegasi, penyelarasan sesi jawatankuasa, serta tugasan di bawah International Labour Organization (ILO) Council.
Skop tanggungjawab ini merangkumi pengurusan perbahasan, penyediaan dokumen resolusi, dan memastikan persidangan berjalan mengikut piawaian antarabangsa.
Selain itu, beliau turut diberi mandat penting dalam menguruskan Majlis Penutupan AYIMUN 2025, iaitu acara kemuncak penuh protokol antarabangsa.
Lakshmy bertanggungjawab menyelaras atur cara, mengurus pergerakan delegasi kehormat, dan memastikan kelancaran aspek protokol yang melibatkan tetamu dari pelbagai negara.
Tugas tersebut memperlihatkan kebolehannya mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan pengurusan dalam suasana rasmi bertaraf dunia.
Pengalaman ini bukan sahaja memberikan pendedahan mendalam kepada isu-isu global berkaitan tenaga kerja, hak pekerja, dan pembangunan sosioekonomi, malah turut memperkukuh keyakinan diri dan secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan SDG:17 Perkongsian Demi Matlamat melalui usaha memperkukuhkan serta memperluas jaringan kerjasama beliau bersama pemimpin muda antarabangsa.
Kejayaan ini membuktikan komitmen dan potensi besar anak muda Malaysia dalam mengangkat nama negara di pentas global.
Teks & Foto: Lakshmy Baskaran, Tahun akhir Sarjana Muda Patologi Pertuturan, Kampus Kesihatan, USM/ Suntingan: Unit Media & Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 149