USM PERKUKUH HUBUNGAN KOMUNITI MELALUI KEJOHANAN E-SPORTS MERDEKA 68 KAMPUNG MADANI
PULAU PINANG, 1 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah memperkukuh hubungan bersama komuniti melalui penganjuran Kejohanan E-Sports Merdeka 68 Kampung MADANI USM dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Masjid Sungai Nibong Kechil serta Qaryah Masjid Al-Ittifaq.
Majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Masjid Al-Ittifaq, Sungai Nibong Kechil kelmarin, telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejohanan ini bukan sekadar pertandingan hiburan digital, tetapi sebahagian daripada agenda USM COMPASSION – Community Programme for Sustainable Impact Mission, yang dirangka selaras dengan UN Sustainable Development Goals (SDGs).
Menurut beliau, kejohanan e-sukan ini memberi penekanan kepada Literasi Digital dan Teknologi, salah satu daripada tujuh Bidang Keutamaan (Key Focus Areas, KFA) di bawah USM COMPASSION.
“Seperti yang kita sedia maklum, e-sukan semakin diiktiraf sebagai wadah strategik dalam membina kemahiran teknologi anak muda, mengasah daya kreatif, meningkatkan disiplin serta memupuk semangat kerjasama berpasukan, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdaya saing di peringkat global.
“Sebagai Universiti APEX, USM berbangga dapat berganding bahu dengan komuniti Kampung Angkat MADANI dalam menjadikan masjid dan kampung sebagai pusat pembangunan insan yang progresif, bukan sahaja dari sudut rohani dan sosial, tetapi juga kompetensi digital, teknologi serta inovasi sukan moden,” ujar beliau.
Katanya lagi, kejohanan ini turut membuktikan keupayaan USM dalam melaksanakan agenda Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok, yang mana kepakaran universiti disalurkan terus ke akar umbi masyarakat.
“Inisiatif sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk menonjolkan bakat, malah mengangkat nama komuniti setempat sebagai pusat pembangunan holistik yang inklusif,” tambah beliau.
Naib Canselor turut menyatakan harapan agar kejohanan ini menjadi medan pencungkil bakat baharu yang mampu diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya berharap ia akan menjadi sebahagian daripada ekosistem USM-KOMUNITI yang melahirkan generasi muda yang berdisiplin, kreatif, bertanggungjawab serta mempunyai kesedaran terhadap kelestarian,” kata Naib Canselor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama, sambil menegaskan bahawa kejayaan penganjuran ini adalah hasil daripada komitmen padu jawatankuasa penganjur, kepimpinan Masjid Al-Ittifaq, pasukan penggerak komuniti USM serta sokongan utuh daripada masyarakat setempat.
“Kerjasama erat ini juga mencerminkan komitmen USM untuk terus menyantuni komuniti, memastikan manfaat ilmu, teknologi dan kepakaran universiti dapat dikongsi bersama semua lapisan rakyat,” ujarnya lagi.
Dengan berakhirnya Kejohanan E-Sports Merdeka 68 Kampung MADANI USM itu, ia sekali lagi membuktikan bahawa inovasi dan teknologi boleh digerakkan bersama nilai murni komuniti demi membina sebuah ekosistem masyarakat yang inklusif, maju dan lestari.
Turut hadir ialah Pengerusi JPKKP Kampung Masjid Sungai Nibong Kechil, Tuan Haji Roslan Mohamed; Pengerusi Qaryah Masjid Al-Ittifaq, Haji Abdul Jaafar Abdul Talip; Pengarah Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak; barisan staf kepimpinan dan pengurusan Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kechil; ahli jawatankuasa penganjur; serta pasukan penggerak komuniti USM.
Teks: Muhammad Idzuan Jamalludin/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 120