MENJUNJUNG SUNNAH, MENGANGKAT MARTABAT: USM RANGKUL KONTINJEN TERBAIK AWAM PERINGKAT NEGERI 1447H/2025M
SEBERANG JAYA, PULAU PINANG, 5 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik bagi Kategori Awam sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1447H/2025M yang berlangsung di Kompleks Kastam, Seberang Jaya, hari ini.
Penyertaan seramai 30 orang staf USM dari Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan menyerlahkan semangat kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. menerusi perarakan simbolik yang penuh harmoni dan makna.
Perarakan ini diketuai oleh Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Fikri Ali Yasah, manakala koordinasi keseluruhan digerakkan oleh Pegawai Psikologi, Nur Amirah Asyikin Hasmizar K.B.;P.A, selaku Penyelaras Kontinjen USM.
Turut memberi sokongan penuh ialah Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf serta Unit Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM.
Menurut Amirah, “Penyertaan Kontinjen USM bukan hanya tentang sebuah pertandingan semata-mata, tetapi lebih kepada menzahirkan rasa cinta dan penghormatan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., Kekasih Allah S.W.T.”
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh nilai kerohanian, menyuburkan semangat kebersamaan, dan mengangkat identiti universiti sebagai institusi ilmu yang berteraskan akhlak mulia.
Sebanyak 38 kontinjen daripada pelbagai jabatan dan institusi, melibatkan lebih 1,080 peserta, menyertai perarakan tahun ini termasuk sembilan kontinjen di bawah kategori NGO/Swasta/IPTA (Awam).
Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang komited mewakili USM dalam acara peringkat negeri yang sarat dengan nilai murni ini.
Teks: Nur Amirah Asyikin Hasmizar, Bhg. Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 327