25 PESAKIT JALANI PEMBEDAHAN SEMPENA ‘1ST USM STRABISMUS SURGERY CARNIVAL'
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Ogos 2025 – Seramai 25 pesakit berusia antara empat hingga 23 tahun menjalani pembedahan mata juling (strabismus) sempena ‘1st Universiti Sains Malaysia (USM) Strabismus Surgery Carnival’ yang berlangsung sepanjang minggu ini di Hospital Pakar USM (HPUSM).
Pembedahan tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM yang juga Pakar Oftalmologi, Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail, bersama pasukan perubatan, sekali gus mencipta sejarah apabila buat julung kalinya pembedahan itu disiarkan secara langsung melalui platform Webex bagi tujuan pendidikan dan perkongsian kepakaran.
Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, berkata, penganjuran karnival ini bukan sahaja dapat mengurangkan tempoh menunggu pesakit, malah memperkukuh aspek rawatan, pendidikan, dan penyelidikan.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar serta pakar muda menimba pengalaman, di samping membuka ruang penyelidikan baharu berkaitan teknik pembedahan, keberkesanan rawatan, dan kualiti hidup pesakit.
“Insya-Allah, usaha ini akan memperkukuh lagi peranan USM sebagai peneraju pendidikan dan penyelidikan dalam bidang kepakaran oftalmologi,” katanya ketika berucap merasmikan karnival tersebut di Wad 2 Utara, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan penganjuran karnival tersebut adalah permulaan kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa akan datang.
USM mula membangunkan kepakaran strabismus sejak tahun 2011 di bawah pimpinan Profesor Dr. Shatriah, menjadikannya pusat rujukan utama pesakit dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Pembedahan strabismus melibatkan pembetulan otot rekti mata bagi merawat pelbagai jenis juling.
Karnival tersebut juga diadakan sempena sambutan Hari Juling Sedunia pada 10 Ogos setiap tahun, sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat serta memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga.
Lebih bermakna, karnival tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan alumni Sarjana Perubatan Oftalmologi USM, dengan penglibatan pakar oftalmologi pediatrik dari KKM yang bersama-sama melaksanakan pembedahan sepanjang karnival itu berlangsung.
Antara pakar oftalmologi yang terlibat ialah Dr. Ruqqayah Ahmadshah Khan, Dr. Ng Kwang Sheng, Dr. Lim Thiam Hou, Dr. Sangeetha, Dr. Karimmah Wahit, Dr. Aiman Mardhiyyah Mohd Yazid, Dr. Luqmanhakim Aminudin, Dr. Fatimah Halwani Ismail, Dr. Noranida Abd Manan, Dr. Abd Hadi Mohd Rasidin, dan Dr. Foo Lee Min.
Seorang bapa pesakit, Mohd Amran Mohamad Zain, 43, melahirkan rasa syukur apabila anaknya, Muhammad Adid Rayyan, 7, terpilih menjalani pembedahan tersebut.
“Anak saya dikesan mengalami masalah juling di kedua-dua belah mata ketika berusia enam (6) tahun selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan sejak itu menerima rawatan susulan di HPUSM.
“Saya berharap agar penglihatan anak saya bertambah baik dan keyakinan dirinya meningkat selepas pulih dari pembedahan ini,” katanya ketika ditemui.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail; Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Madya Dr. Azhany Yaakub; Ketua Jabatan, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Mohd Zulfakar Mazlan; Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan, HPUSM, Norhayati Mohamad; dan Pakar Perunding Vitreoretina Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr. Zamri Noodin yang mewakili Ketua Jabatan Oftalmologi hospital berkenaan.
Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 104