TECHNOART 2025 KUKUHKAN KOLABORASI SENI DAN TEKNOLOGI ANTARA UBM DAN USM
PULAU PINANG, 2 September 2025 – Fakultas Teknologi dan Desain Universitas Bunda Mulia (UBM) sekali lagi menganjurkan program tahunan TechnoArt 2025, sebuah inisiatif akademik dan kreatif yang menggabungkan elemen seni, teknologi serta inovasi merentas disiplin.
Acara ini berlangsung serentak di dua kampus UBM, iaitu Kampus Ancol, Jakarta dan Kampus BSD, Tangerang Selatan dari 25 hingga 27 Ogos 2025.
TechnoArt 2025 secara rasmi dimulakan dengan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UBM dan Universiti Sains Malaysia (USM), menandakan permulaan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan industri kreatif.
Sesi Ilmiah dan Bengkel Akademik
Hari pertama acara diserikan dengan sesi ilmiah bertemakan “Co-Creation Across Borders: Designing with Communities”, yang menampilkan pakar dari USM.
Turut diadakan ialah bengkel akademik bertajuk “Research Methodologies for Academic Excellence” oleh Lim Jing Yi dan syarahan khas bertajuk “The Role of Artificial Intelligence in Modern Education” oleh Prof. Dieter Baums dari Technische Hochschule Mittelhessen, Jerman.
Pameran seni turut menjadi tumpuan, mempamerkan karya 2D dan audiovisual yang mencerminkan ekspresi artistik generasi muda melalui pelbagai medium.
Hari Kedua: Teknologi dan Kreativiti Bersatu
Hari kedua menyaksikan sesi Artist Talk bertajuk “To Optimize Technology in Design” bersama pengamal muda industri kreatif, diikuti bengkel Internet of Things (IoT) dan Inovasi Digital yang dikendalikan oleh Rockwell Automation dan PT. ACA Pacific.
Bagi golongan akademik, turut diadakan bengkel pensyarah bertema “Transforming Passion into Expertise: Why Pursue a Doctorate in Your Field?” yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari USM, bertujuan memberi inspirasi kepada peserta untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran.
Puncak Acara: Dialog Global Mengenai Seni dan AI
Kemuncak TechnoArt 2025 berlangsung pada 27 Ogos dengan sesi utama bertajuk “Crossing Realities: Global Dialogues on Art, AI, and the Immersive Future”.
Sesi ini menghimpunkan tokoh akademik dari pelbagai institusi antarabangsa termasuk Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa, Dekan Pusat Pengajian Seni USM; Prof. Yun-Chia Liang dari Yuan Ze University, Taiwan; dan Chris Rhodes dari University College London (UCL), United Kingdom.
Mereka berkongsi pandangan mengenai peranan teknologi dan kreativiti dalam membentuk masa depan yang bersifat imersif dan inklusif.
Wakil Indonesia Tekankan Kepentingan AI
Wakil Indonesia, Irvan Bastian Arief, Naib Presiden Data Science dan Pensyarah UBM, menekankan kepentingan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor industri dan pendidikan.
Turut hadir ialah Reinhard Jeremia, alumni UBM dan Ketua Pegawai Eksekutif Cridea, yang berkongsi pengalaman profesional dalam industri kreatif.
Rangkaian acara kemuncak itu turut diserikan dengan Sesi Bual Bicara Khas bersama Lenovo bertajuk “Level Up Your Digital Habits with Lenovo,” yang membincangkan strategi untuk mengoptimumkan tabiat digital dalam era moden.
Sebagai penutup, acara diteruskan dengan Sesi Penyampaian Anugerah, yang menampilkan karya-karya inovatif daripada tiga finalis Pertandingan AI Hackathon serta karya terbaik dalam kategori seni 2D dan format audiovisual.
TechnoArt 2025 sekali lagi membuktikan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin inovasi dan kolaborasi global dalam era digital.
Sumber: https://www.kompas.com/edu/read/2025/08/31/120732371/dari-ai-hingga-seni-technoart-ubm-2025-hadirkan-pakar-global-berbagi-inovasi /Suntingan: Marziana Mohamed Alias & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 284