59 WARGA USM SERTAI PERARAKAN MERDEKA: PERKUKUH SEMANGAT PATRIOTISME, SEMARAKKAN ASPIRASI MALAYSIA MADANI
BATU KAWAN, PULAU PINANG, 31 Ogos 2025 – Seramai 59 orang staf Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan pada pagi ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Penyertaan ini selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, yang menekankan nilai kebersamaan dan kesejahteraan rakyat.
Kontinjen USM, melibatkan staf daripada Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan, berganding bahu menzahirkan semangat patriotisme serta identiti universiti dalam acara tahunan tersebut.
Kontinjen USM diketuai oleh Azhar Othman, Penolong Akauntan dari Jabatan Bendahari, manakala aspek penyelarasan diselia oleh Mohamad Shafieq Ishak, Pegawai Psikologi, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.
Kehadiran staf dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan menyerlahkan semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan warga universiti.
Menurut Shafieq, “Perarakan Hari Kebangsaan ini memberi peluang kepada staf USM untuk menzahirkan identiti universiti yang bersatu padu, dengan penglibatan warga dari pelbagai latar belakang yang bersama-sama menyumbang tenaga serta menyemarakkan semangat Merdeka.”
Beliau menambah, penyertaan tersebut turut mencerminkan usaha USM untuk terus mendukung aspirasi Malaysia MADANI, dengan memastikan warga universiti terlibat secara aktif dalam acara kebangsaan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sebanyak sepuluh (10) kontinjen mengambil bahagian pada tahun ini.
Selain USM, kontinjen lain yang turut serta ialah Komander Kesatria UiTM Cawangan Pulau Pinang, PPKK & ILKKM (Pergigian) George Town, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, KITAB Pulau Pinang, PERDA-TECH dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Tiga kontinjen baharu yang menyertai perbarisan tahun ini pula ialah Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI), ADTEC JTM Kampus Kepala Batas serta SEAMEO RECSAM.
Secara keseluruhan, acara perbarisan tahun ini disertai oleh 122 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan jumlah penyertaan seramai 7,533 peserta.
Bagi kategori perarakan berkenderaan, sebanyak 22 kontinjen terlibat, melibatkan 958 individu serta 676 buah kenderaan yang memeriahkan lagi suasana sambutan.
USM menegaskan komitmennya untuk terus menyokong penglibatan warga universiti dalam acara kenegaraan pada masa akan datang, sebagai tanda kesetiaan kepada negara dan cerminan budaya kerja berpasukan, selaras dengan aspirasi Universiti APEX.
Teks & Foto: Mohamad Shafieq Ishak, Pegawai Psikologi, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, USM
- Created on .
- Hits: 200