USM PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN BERSAMA KEELE UNIVERSITY
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan antarabangsa apabila delegasinya berjaya merasmikan Pusat Maya USM–Keele serta melancarkan Program Doktor Falsafah (PhD) Berkembar bersama Keele University, Staffordshire, United Kingdom dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos lalu.
Delegasi USM diketuai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab, bersama Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) merangkap Penyelaras Pusat Maya USM–Keele, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail.
Menurut Habibah, pelancaran rasmi program PhD Berkembar dan Pusat Maya USM–Keele menandakan pencapaian bersejarah dalam hubungan akademik kedua-dua universiti.
“Kolaborasi ini bukan sekadar memperkukuh agenda penyelidikan bersama, tetapi juga memposisikan USM sebagai rakan strategik global yang berdaya saing,” ujarnya.
Sepanjang empat (4) hari lawatan, pelbagai siri mesyuarat strategik telah diadakan, termasuk dengan Naib Canselor Keele University, Profesor Trevor McMillan serta kepimpinan kanan universiti berkenaan.
Antara agenda utama ialah membincangkan pelaksanaan PhD Berkembar, peluang penyelidikan bersama dalam bidang bioperubatan dan pendidikan perubatan, pengembangan program mobiliti akademik serta perancangan struktur tadbir urus Pusat Maya USM–Keele.
Lawatan ini turut menyaksikan sesi pembentangan penyelidikan bertajuk ‘Next Generation Sustainable Heparin’ oleh Dr. Mark Skidmore serta lawatan ke fasiliti penyelidikan di School of Life Sciences, Keele University.
Hasil daripada lawatan ini, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk memohon geran penyelidikan antarabangsa secara bersama, memperluas program mobiliti staf dan pelajar serta merangka pelan strategik tiga (3) tahun bagi kolaborasi akademik dan penyelidikan.
Sejak 2015, USM dan Keele University telah menjalinkan hubungan erat melalui kerjasama penyelidikan, pertukaran akademik serta mobiliti pelajar.
Lawatan rasmi kali ini menjadi pemangkin kepada era baharu kerjasama lebih sistematik dan mampan di peringkat antarabangsa.
Dengan kejayaan ini, USM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkukuh kedudukan sebagai universiti bertaraf global serta hab rujukan akademik dan penyelidikan transdisiplin.
Teks & Foto: Profesor Madya Dr. Aziah Ismail, INFORMM, USM
- Created on .
- Hits: 104