USM DAN CEDEC PACU PEMBANGUNAN BAKAT SEMIKONDUKTOR NEGARA
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM), menerusi Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju teknologi rekabentuk mikroelektronik apabila dilantik secara rasmi oleh Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) sebagai rakan utama dalam program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI).
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ini menandakan satu lagi pencapaian penting buat USM sebagai universiti APEX dan pusat penyelidikan bertaraf dunia, selari dengan aspirasi nasional dalam memperkasa bakat dan inovasi teknologi.
CEDEC akan membangunkan serta memperkasa modul latihan khusus dalam IC Design yang merangkumi rekabentuk analog, digital, Very Large-Scale Integration (VLSI), Design for Test (DFT), dan prototaip Field Programmable Gate Arrays (FPGA) — kesemuanya dibangunkan untuk memenuhi kehendak industri semikonduktor yang pesat membangun dan kompetitif.
Dengan sokongan daripada CREST, HRD Corp dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), inisiatif ini dijangka mempercepat pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada sasaran negara untuk melahirkan puluhan ribu jurutera semikonduktor menjelang 2030.
Kerjasama strategik ini mencerminkan keyakinan industri terhadap kepakaran CEDEC dan komitmen berterusan USM dalam menyumbang kepada agenda nasional ke arah masa depan teknologi negara yang lestari dan berdaya saing.
Teks: Prof. Dr. Asrulnizam Abd Manaf & Prof. Madya Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail
- Created on .
- Hits: 243