USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENJALIN KEBERSAMAAN, MENYEMAI KEMANUSIAAN: MISI MPDR USM DI MEDAN INDONESIA

WhatsApp Image 2025 08 25 at 15.38.25 17aed22d

MEDAN, INDONESIA, 19 Ogos 2025 – Halaman Sekolah Luar Biasa (SLB) Negeri Pembina tampak lebih meriah daripada kebiasaan pada pagi itu, apabila rombongan dari Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR), Universiti Sains Malaysia (USM), hadir membawa misi kemanusiaan menerusi program “Train to Humanity: Goes Global”, iaitu satu inisiatif berteraskan kasih sayang, pendidikan, dan pembangunan insan.

WhatsApp Image 2025 08 25 at 15.38.24 483d68ed

Program tersebut memberi tumpuan kepada murid-murid berkeperluan khas termasuk mereka yang mengalami kecacatan penglihatan, pendengaran, autisme, hiperaktif, dan cabaran perkembangan lain, dengan lebih 30 pelajar SLB Negeri Pembina terlibat dalam bengkel kemahiran reka bentuk menggunakan Canva.

Melalui bengkel tersebut, para pelajar diajar menghasilkan poster dan brosur ringkas, membuktikan bahawa meskipun berbeza kemampuan, kreativiti mereka tetap menyerlah.

WhatsApp Image 2025 08 25 at 15.38.25 21e42370

MPDR turut menyerahkan English Kit yang direka khas untuk murid berkeperluan khas kepada guru-guru sekolah sebagai bahan bantu mengajar agar manfaatnya dapat diteruskan kepada generasi seterusnya.

WhatsApp Image 2025 08 25 at 15.38.22 b6be3bf2

Di ruang Aula Sisingamangaraja XII, gelak tawa dan keceriaan jelas terasa apabila pelajar-pelajar USM bergaul mesra bersama murid tunarungu (gangguan pendengaran) melalui aktiviti nyanyian, permainan dan senamrobik.

Interaksi ini membuktikan bahawa sempadan bahasa dan perbezaan keupayaan bukanlah halangan untuk meraih kegembiraan dan membina hubungan.

WhatsApp Image 2025 08 25 at 15.38.26 0af1bfe4

Guru Besar SLB Negeri Pembina, Pak Mardi Pandjaitan, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dan terharu atas kesudian rombongan Malaysia turun padang.

“Sekolah ini bukan sekadar tempat belajar, tetapi ruang inspirasi. Kehadiran rombongan dari USM membuktikan bahawa anak-anak berbakat khusus bukan hanya penerima kasih, tetapi sumber inspirasi yang luar biasa.”

Beberapa pelajar turut berkongsi pengalaman mereka, antaranya Daniel anak Dennis, peserta dari USM, yang berkata: “Saya benar-benar tersentuh melihat kegigihan murid-murid di sini. Walaupun ada kekangan, semangat mereka belajar sangat tinggi. Ia membuka mata saya tentang erti kesyukuran.”

Sementara itu, Nur Aliatul Aina Mohd Sihar turut menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang mengubah perspektif: “Saya belajar bahawa pendidikan bukan hanya tentang akademik, tetapi tentang bagaimana kita menyampaikan kasih sayang dan memberi ruang kepada semua untuk berkembang.”

Bagi pihak sekolah, seorang pelajar tunarungu menyampaikan ucapan ringkas dalam bahasa isyarat: “Terima kasih kepada rakan-rakan dari Malaysia. Kami sangat gembira pada hari ini.”

Mesej tersebut kemudiannya diterjemah oleh guru pengiring, namun kata-kata ringkas itu sudah cukup menggambarkan betapa mendalamnya makna sentuhan kemanusiaan yang disampaikan.

Lawatan ini turut disertai oleh Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Lim Chee Ann; rakan kolaborasi akademik dari Universitas Terbuka, Yasir Riadi; serta perwakilan dari Universitas Panca Budi Medan.

Perbincangan bersama pihak sekolah telah membuka ruang kepada kerjasama masa depan dalam bidang pendidikan khas dan inklusif.

SLB Negeri Pembina bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada program latihan ini, malah menjadi saksi lahirnya hubungan persahabatan merentasi sempadan negara.

MPDR berjaya membuktikan bahawa misi kemanusiaan tidak terbatas dalam kampus semata-mata, sebaliknya mampu menjangkau masyarakat luar dengan membawa harapan dan senyuman.

“Semoga benih kasih yang ditanam hari ini tumbuh menjadi pohon persahabatan yang terus memberi berkat kepada anak-anak istimewa di Indonesia dan di mana sahaja,” ujar Pak Mardi mengakhiri pertemuan dengan penuh doa dan harapan.

Program diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh Pak Mardi dan Penolong Penggawa Desasiswa Restu, Andy Siti Nurhidayah Rahim, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan dan sesi bergambar bersama pihak sekolah.

WhatsApp Image 2025 08 25 at 15.38.26 93a60b45

MPDR turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas kepercayaan dan sokongan dalam menjayakan program berimpak tinggi ini yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

Teks: Dr. Lim Chee Ann, Penggawa Desasiswa Restu/Suntingan: MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 128

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025