USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INSPIRASI VARSITI 2025: USAHA USM MENYEDIAKAN GENERASI MUDA UNTUK PENDIDIKAN TINGGI

511b15cf 4f25 49f4 a63a ff5f126cfb05

USM PULAU PINANG, 17 Ogos 2025 – Program Inspirasi Varsiti 2025 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM), sebuah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, melabuhkan tirainya hari ini dengan berlangsungnya Majlis Perasmian Penutup.

Program selama tiga hari dua malam itu bertujuan menarik minat pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, di samping memperkukuh kemahiran kepimpinan, jati diri, motivasi, literasi digital, serta pemahaman mengenai ilmu kenegaraan, patriotism, dan perpaduan.

02743683 3783 487f ac2c fe2a42634a22

Turut diberi penekanan ialah bidang pendidikan STEM, inovasi, kreativiti dan pengenalan aplikasi UPU Poket sebagai panduan pemilihan program pengajian.

Seramai 160 murid Tingkatan 4, 5 dan 6 daripada enam buah sekolah menengah sekitar Pulau Pinang telah menyertai program ini, menjadikan ia satu platform penting dalam menyemai semangat keilmuan dan aspirasi masa depan negara.

3792f246 92a2 4d4d bba5 da66b6776ae1

Majlis penutup dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Seri Hajah Norliza Abdul Rahim yang menzahirkan penghargaan kepada USM kerana menyantuni pelajar sepanjang program berlangsung.

“Tahniah saya ucapkan kepada USM kerana menyantuni pelajar-pelajar sekolah sepanjang tiga hari dua malam ini. Usaha ini amat penting kerana ia memberi inspirasi kepada anak-anak untuk melihat lebih jauh perjalanan akademik mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan mengenai peranan PTPTN dalam membantu pelajar agar tidak tercicir dalam melanjutkan pengajian.

f0fa5b8a af11 437a a325 ee243fa4113e

“PTPTN ditubuhkan untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan supaya mereka dapat meneruskan pengajian dan mencapai kejayaan masing-masing. Jangan takut atau gentar untuk menyambung pelajaran kerana kerajaan sentiasa memperjuangkan kesejahteraan pelajar,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa kerajaan sentiasa memperjuangkan kesejahteraan pelajar, termasuk memperketatkan polisi anti-buli.

“Anak-anak mesti peka dengan situasi sekeliling. Jika berlaku kes buli, jangan takut untuk tampil ke hadapan,” tegas beliau.

22827cf0 0f64 4676 b496 ca91a2a5e72d

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya menekankan bahawa pendidikan adalah kunci transformasi kehidupan, terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan.

“Pendidikanlah yang menjadikan generasi masa kini hebat. Tiada jalan lain untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melainkan melalui pendidikan,” jelasnya.

393ba2b6 0db1 4a55 8a3f a5f3824db862

96d4f63f c904 44db 8531 74bf95ab5bb8

Beliau turut berkongsi mengenai Program Pelajar Sulung yang diwujudkan sebagai inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan agar mampu menjejaki menara gading.

15edbd8e b4ce 482d 8cc0 2e473424478b

8edca0c2 a14e 4625 af96 bbf9b8e55f02

Program Inspirasi Varsiti 2025 USM menjadi bukti usaha berterusan KPT dan USM dalam memperkukuh jalinan pendidikan dengan sekolah menengah, sekali gus memastikan generasi muda dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran, dan nilai kepimpinan untuk mendepani cabaran masa depan.

Teks: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul, Pelajar Latihan Industri MPRC, USM/Foto: Nirmaryadi Rashid, Unit Media & Penerbitan, BHEPA, USM  

  • Created on .
  • Hits: 216

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025