USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR SAMBUNGAN RANGKAIAN ARENA-PAC 100GBPS, PACU KOLABORASI PENYELIDIKAN GLOBAL

USM PULAU PINANG, 14 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah baharu apabila melancarkan sambungan rangkaian Arterial Research and Educational Network in the Asia Pacific (ARENA-PAC) dengan kelajuan sehingga 100 Gigabit sesaat.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 18.00.11 3e498eb3

Majlis perasmian yang berlangsung di Kompleks Eureka USM itu disempurnakan oleh Pengarah ARENA-PAC, Profesor Dr. Jun Murai dari Universiti Keio, Jepun.

Hadir bersama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, serta tokoh akademik dalam dan luar negara.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 18.00.09 c449f4c6

Dalam ucapannya, Naib Canselor berkata, sambungan rangkaian ini merupakan satu lonjakan besar bagi USM dalam memperkukuh penyelidikan, pembelajaran, dan kolaborasi global.

“Dengan rangkaian berkelajuan tinggi ini, penyelidik USM dapat bekerjasama secara lebih pantas dengan rakan-rakan penyelidik antarabangsa dalam bidang seperti kajian iklim, perubatan, dan kejuruteraan.

“Ini adalah peluang besar untuk melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu membawa manfaat sejagat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ARENA-PAC, APNIC, Cisco, Juniper Networks, serta kepakaran pasukan Pusat Pengajian Sains Komputer dan Pusat Transformasi Digital USM, dalam merealisasikan projek ini.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 18.00.10 adb2a38d

Majlis tersebut turut menampilkan ucaptama bertajuk “Role of Research and Educational Network” oleh Profesor Murai.

Dalam pembentangannya, beliau mengimbas kembali sejarah awal pembangunan internet pada tahun 1995, ketika kurang daripada satu peratus dunia dihubungkan.

Menurutnya, kejayaan internet moden, termasuk perkhidmatan seperti Google, berpunca daripada penggunaan piawaian terbuka dan model sumber bersama yang membolehkan kos operasi dan pelaburan dikongsi, sekaligus mempercepatkan inovasi.

Beliau turut menekankan keunikan internet yang bersifat autonomi dan teragih tanpa kawalan pusat, menjadikannya benar-benar global dan berdaya tahan.

Katanya, pendekatan ini selari dengan semangat ARENA-PAC dalam membina rangkaian penyelidikan yang menghubungkan pelbagai institusi di seluruh dunia.

“Jika kita mempunyai impian, ia boleh dicapai; jika kita menghadapi cabaran, ia boleh diselesaikan dalam persekitaran digital. ARENA-PAC adalah platform untuk menjadikan perkara itu realiti melalui kolaborasi rentas sempadan,” jelas beliau.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 18.00.11 b70e1ab4

Turut hadir ialah Pengarah School of Internet Asia, Profesor Dr. Keiko Okawa; Pengerusi APNIC Foundation, Dato’ Sharil Tarmizi; Ketua Pengarah APNIC, Jia-Rong Low; Pengarah Urusan MYNeuTrans, Dr. Awang Lah; Presiden Pengasas Singapore Advanced Research and Education Network, Profesor Madya Dr. Francis Lee; Pengarah Pusat Transformasi Digital USM, Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa; dan Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Profesor Madya Dr. Wan Nazmee Wan Zainon.

Majlis turut disertai pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pegawai kanan USM, rakan strategik industri, serta peserta antarabangsa secara maya dari Jepun, Indonesia, dan Filipina.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 18.00.08 2c03dc70

Dengan pelancaran ARENA-PAC ini, USM bertekad untuk terus menjadi peneraju dalam membina ekosistem penyelidikan global yang inklusif, inovatif, dan berimpak tinggi.

Rangkaian ini diharap menjadi pemangkin kepada pencapaian baharu yang bukan sahaja mengharumkan nama universiti, malah memberi manfaat besar kepada masyarakat dan dunia.

Teks: Nur Athirah Md Salleh, Pelajar Latihan Industri MPRC/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 197

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025