DATO’ SERI YUSUF TAIYOOB RAIKAN JEMAAH DI MASJID AL-MALIK KHALID USM
USM PULAU PINANG, 15 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan istimewa daripada usahawan dan dermawan terkenal, Dato’ Seri Yusuf Taiyoob, Pengasas dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd., yang mengadakan kenduri Jumaat untuk para jemaah di Masjid Al-Malik Khalid, USM.
Lebih 200 jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut diraikan dengan hidangan nasi minyak bersama aneka lauk-pauk kenduri yang disediakan khas.
Kehadiran Dato’ Seri Yusuf Taiyoob bukan sahaja mencerminkan sifat pemurah beliau, malah mengukuhkan hubungan erat antara tokoh korporat dan komuniti universiti.
Dalam ucapan ringkasnya, Dato’ Seri Yusuf Taiyoob menzahirkan rasa syukur dapat bersama warga kampus pada hari penuh barakah ini.
“Saya percaya rezeki yang dikongsi akan bertambah berkatnya. Semoga majlis seperti ini mengeratkan ukhwah dan memberi manfaat kepada semua,” kata beliau.
Selain kenduri Jumaat yang telah diadakan pada hari ini, beliau sebelum ini turut memberikan sumbangan nasi lemak sebanyak 100 bungkus setiap hari kepada pelajar USM yang kurang berkemampuan, dan inisiatif ini akan diteruskan sehingga Disember 2025.
Usaha murni tersebut telah membantu meringankan beban pelajar yang memerlukan, di samping memupuk rasa prihatin dalam komuniti kampus.
Penganjuran kenduri dan sumbangan berterusan ini sejajar dengan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals [SDGs]) khususnya:
- SDG 2: Tiada Kelaparan – Mengurangkan masalah kekurangan makanan dalam kalangan pelajar.
- SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan – Menggalakkan kesejahteraan melalui pemakanan dan komuniti yang sihat.
- SDG 4: Pendidikan Berkualiti – Membantu pelajar kurang berkemampuan untuk terus fokus kepada pengajian.
- SDG 17: Perkongsian Untuk Matlamat – Memupuk kerjasama antara sektor korporat dan institusi pendidikan.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, yang turut Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Pusat Islam, USM, Ustaz Zayd Zhari; Pengarah Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq (ZAWAIN), USM, Dr. Nazrul Hassan; Mewakili Penasihat Undang-Undang, Pejabat Perundangan Universiti, USM, Mohd Izwan Hamdan; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Shukeri A. Rahaman.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 410