USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HARGAI KOMITMEN TINGGI WARGA DALAM KEJAYAAN CEMERLANG THE-IR 2025 DUNIA

WhatsApp Image 2025 08 14 at 11.38.32 a5e21a24

USM PULAU PINANG, 13 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan Majlis Penghargaan dan Terima Kasih bagi meraikan kejayaan cemerlang dalam penyertaan Times Higher Education Impact Rankings (THE-IR) 2025 di The Drum, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP).

WhatsApp Image 2025 08 14 at 11.38.32 fdd62f45

Dalam majlis apresiasi khas yang diadakan, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua pihak termasuk Pusat Tanggungjawab (PTJ), ahli jawatankuasa, sekretariat, dan seluruh warga USM yang telah memberikan usaha serta komitmen yang tinggi dalam merealisasikan kejayaan yang cukup membanggakan ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga universiti,” kata beliau.

Keputusan THE-IR 2025 memperlihatkan peningkatan kedudukan USM, yang melonjak ke tangga ke-14 dunia dari tangga ke-18 tahun sebelumnya.

USM turut dinobatkan nombor satu dunia bagi tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan & Institusi Kukuh), dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Malah, bagi SDG 16, USM berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu dunia untuk empat tahun berturut-turut.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 11.38.32 d2e2136d

Menurut Naib Canselor lagi, “Kejayaan ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan akademik, malah membuktikan komitmen tinggi universiti dalam membawa agenda kelestarian ke peringkat global, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aspirasi Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan Universiti (APEX).”

“Pencapaian ini akan menjadi pemangkin untuk USM terus melangkah lebih jauh, kekal relevan dalam landskap pendidikan tinggi dunia serta memberi sumbangan bermakna kepada kelestarian sejagat.

“Saya yakin, kita semua boleh bersama-sama mencipta perubahan yang bermakna, dengan mengamalkan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian kita, sinonim dengan USM sebagai sebuah universiti yang berteraskan kelestarian bertaraf dunia,” ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2025 08 14 at 11.38.32 08d43e06

Majlis turut dihadiri Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato' Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, yang juga Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob; Penyelaras THE-IR 2025, Dr. Normaliza Abdul Manaf; Timbalan Pendaftar, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Mohd Faizal Md Osman; pegawai-pegawai utama Universiti; ketua-ketua SDG; ahli-ahli Jawatankuasa dan Sekretariat THE-IR 2025; serta tetamu jemputan.

Teks: Hema Vathi Kumaraguru, pelajar latihan industri di MPRC, USM/ Suntingan: Tan Ewe Hoe/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 187

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025