I-PeERS 2025: LATIH 115 PELAJAR IPTA/IPTS DEPANI CABARAN EMOSI RAKAN SISWA SISWI
USM PULAU PINANG, 7 Ogos 2025 – Mahasiswa adalah aset penting negara dalam memainkan peranan penting memperkasakan kesedaran kesihatan mental.
Penglibatan mahasiswa dalam Konvensyen Intervarsity Peers Education Recovery and Support (I-PeERS) 2025 dapat memupuk kerjasama, kesedaran dan kemahiran dalam membantu warga institut pengajian tinggi (IPT) untuk terus berkembang.
Bertempat di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk Pulau Pinang, USM diberi peluang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Konvensyen I-PeERS 2025 untuk tahun ini.
Di bawah kelolaan Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM; Kelab Pembimbing Rakan Siswa (KPRS); dan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA), konvensyen yang berlangsung selama tiga hari dari 5-7 Ogos 2025 ini telah melibatkan penyertaan seramai 115 pelajar dari 20 IPTA dan 2 IPTS.
Antara pengisian konvensyen adalah latihan dalam kumpulan, slot bengkel PRS MADANI: Menyemai Empati, Santuni Emosi; Psychological First Aid (PFA); Majlis Gala Nite; dan forum diskusi Mahasiswa Sejahtera Aspirasi Belia MADANI.
Latihan serta ilmu yang dikongsikan oleh panel jemputan telah membantu memperluaskan pemahaman dan pelaksanaan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan) secara menyeluruh.
Usaha ini bertujuan untuk membentuk mahasiswa yang berfikiran kritis dan berperanan sebagai agen perubahan, agar mereka dapat membantu rakan-rakan mahasiswa lain dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai pelajar.
Majlis perasmian penutup Konvensyen I-PeERS dan peluncuran program Psikososial Komuniti MADANI telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Turut hadir bersama adalah Pengerusi MAKUMA merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya, Profesor Dr. Zamri Radzi; dan Profesor Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi TNC HEPA USM.
Dalam ucapannya, Azlinda berkata, “Penganjuran program ini amat bertepatan dan selari dengan Fokus Utama KPT bagi tahun 2025. Program ini menyumbang secara langsung kepada usaha melahirkan bakat terbaik negara dengan menekankan pembangunan kemahiran insaniah (soft skills) dalam kalangan pelajar.”
“Melalui program ini, pelajar dilatih untuk menjadi pembimbing rakan siswa yang terlatih, dengan penekanan kepada kemahiran seperti komunikasi berkesan, empati, penyelesaian masalah, kepimpinan, dan kerja berpasukan.
“Latihan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan pelajar dalam menghadapi cabaran masa depan, tetapi juga menyokong aspirasi negara dalam membentuk generasi profesional yang holistik dan berdaya saing,” jelasnya lagi.
Tambah Azlinda, “Melalui pendekatan pendidikan rakan sebaya atau peer-to-peer, konvensyen ini telah mengangkat satu misi yang sangat penting iaitu menjadikan mahasiswa bukan hanya pelajar, tetapi penyokong, pemimpin dan pemudah cara kesejahteraan komuniti kampus.”
Sementara itu, menurut Zamri pula, Konvensyen I-PeERS ini bukan sekadar program formal atau aktiviti pengisian masa. Ia adalah platform perjuangan jiwa dan kesedaran yang mendalam.
“Ia lahir dari keresahan kita terhadap isu kesihatan mental yang semakin hari semakin mencengkam masyarakat kampus kita,” katanya.
Azlan dalam ucapannya turut berkata, melalui konvensyen ini, kita sedang membina satu ekosistem kampus yang lebih sihat dan inklusif, yang mana rakan sebaya bukan sekadar teman belajar, tetapi juga bertindak sebagai pendengar yang peduli, pemudah cara emosi, dan pemimpin komuniti yang berdaya empati.
Majlis penutup turut dihadiri oleh Ketua Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, mewakili TNC HEPA Universiti Malaysia Terengganu, Hainany Idayu Yazid; Pengurus Kolaborasi dan Strategik, Yayasan Perkasa Siswa, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Perkasa Siswa selaku penaja utama Konvensyen I-PeERS, Zulkifli Che Hussin; Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA USM, Shukeri A. Rahaman; Yang Dipertua Kelab Pembimbing Rakan Siswa USM, Muhammad Azri Hisham Ahmad Pisal; dan tetamu jemputan lain.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM/ Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 121