USM PERTAMA JALIN KERJASAMA DENGAN ECC
PULAU PINANG, 4 Feb. 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti pertama negara dan dari luar United Kingdom yang menjalin kolaborasi strategik dengan Educational Competencies Consortium (ECC), sebuah agensi yang bertanggungjawab menguruskan pembangunan kompetensi kepada 125 universiti di England.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM berbangga kerana menjadi pilihan ECC untuk mengadakan kerjasama strategik dalam penawaran program pembangunan modal insan, yang akan ditawarkan melalui Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM.
Katanya, USM melalui PIPPA akan menawarkan program pembangunan berasaskan model kompetensi yang dibangun dan digunapakai oleh universiti-universiti terkemuka di England yang mana latihan pertama akan mula diadakan pada pertengahan tahun ini di United Kingdom (UK).
``PIPPA akan menawarkan program latihan bersama ECC yang sejak penubuhannya pada tahun 1994 telah berjaya menjalankan kira-kira 150,000 analisa kerja di universiti-universiti di seluruh UK. Analisa itu memberi pengetahuan yang lebih baik kepada universiti untuk menguruskan sumber manusia dengan optimum.
``Analisa kerja yang dijalankan menggunapakai kaedah tertentu termasuk menguruskan strategi pengurusan sumber manusia berasaskan kepada tiga pendekatan iaitu pembangunan, sumber dan juga ganjaran dengan menggunakan 14 asas yang terbukti amat berjaya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus mengadakan perbincangan intensif bersama Ketua Pegawai Eksekutif ECC, Nicholas Johnston di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, TNC Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan pegawai-pegawai kanan Universiti.
Tambah beliau, melalui kerjasama itu USM dan ECC akan mengadakan empat siri latihan, satu di UK dan tiga lagi di negara ini bagi memberi latihan dan pendedahan kepada kerangka kompetensi serta teknik pelaksanaannya.
PIPPA yang ditubuhkan oleh USM dua tahun yang lalu, sehingga kini telah mempunyai rakan strategik di Australia, Timur Tengah dan Eropah. Pada tahun 2015, PIPPA akan mengembangkan programnya dengan kerjasama rakan strategik di Hong Kong dan Korea.
Sehingga kini PIPPA telah melatih lebih 5000 kakitangan dari pelbagai agensi termasuk agensi pusat dan kerajaan negeri. Bidang tumpuan PIPPA ialah menjurus kepada pembangunan kompetensi teras yang bertujuan membantu jabatan kerajaan dalam menyusun strategi termasuk strategi sumber manusia dalam mencapai matlamat startegik organisasi.
Di samping peserta tempatan, program anjuran PIPPA juga mendapat penyertaan peserta dari negara-negara Asean dan timur tengah. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1526