USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENTERNAKAN TIRAM MODEN: PROJEK KOMUNITI USM DI TUARAN BUKTI INISIATIF PENGAJIAN TINGGI BERI IMPAK KEPADA KOMUNITI LUAR BANDAR

527745325 1064616539190810 318548277742769594 n

PULAU PINANG, 5 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda memperkasa komuniti luar bandar melalui pelaksanaan Tiram Scale Up Project di Kampung Lentuong, Tuaran, Sabah yang berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat, khususnya dalam kalangan kumpulan B40.

Projek berimpak tinggi tersebut menjadi tumpuan lawatan rasmi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman bersama delegasi Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meninjau pelaksanaan program pemindahan ilmu dan inovasi sosial yang digerakkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT), baru-baru ini.

526587604 1064616552524142 2576950821249506801 n

Tumpuan utama projek adalah kepada sektor akuakultur dan perusahaan makanan laut sebagai pemangkin ekonomi komuniti.

Seramai 15 peserta komuniti terlibat telah dilatih secara intensif dalam penternakan tiram moden dan mampan.

Hasil pelaksanaan menunjukkan peningkatan pendapatan peserta daripada sekitar RM1,500 kepada lebih RM2,500 sebulan – bukti jelas kejayaan pendekatan berasaskan ilmu, teknologi dan inovasi.

526870265 1064616632524134 6818614364921821587 n

Menurut Azlinda, pendekatan holistik yang diguna pakai USM dalam projek ini wajar dijadikan model nasional bagi pembangunan komuniti luar bandar.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan, malah turut memperkasakan komuniti dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk meneroka peluang ekonomi baharu. Ia mencerminkan keberkesanan pemindahan teknologi dan inovasi sosial daripada universiti ke lapangan sebenar,” ujar beliau.

526554897 1064616612524136 6428476513720208140 n

“Saya memandang tinggi komitmen USM yang menjadikan penyelidikan dan inovasi bukan sekadar akademik, tetapi sebagai alat untuk memperkasa masyarakat. Inilah teras utama Transformasi Agenda APEX dan hala tuju KPT dalam memastikan pengajian tinggi terus relevan kepada pembangunan negara,” tambahnya.

Lawatan delegasi turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan, serta pegawai-pegawai kanan JPT, KPT.

Hadir mewakili pihak USM bagi meraikan delegasi JPT ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM), Profesor Dr. Azlan Amran; Penyelaras Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu USM, Amirul Haizad Mohd Zaini; dan Ketua Program INNO4C, Tuan Syed Yusof Syed Kechik.

Dalam lawatan berkenaan, delegasi JPT turut dibawa meninjau tapak penternakan tiram dan rumah pemprosesan serta mengadakan sesi interaksi bersama peserta.

527359931 1064616619190802 4922780331704140028 n

Antara pencapaian utama projek ialah penghasilan empat produk berasaskan tiram yang telah memperoleh pensijilan halal dan/atau MeSTI serta dilengkapi ciri keselamatan hologram; sekali gus membuka potensi pasaran yang lebih luas dan selamat untuk pengguna.

Setakat ini, lebih sembilan inovasi teknikal telah diperkenalkan termasuk kaedah penternakan efisien, pemprosesan bernilai tambah serta rangkaian kolaborasi strategik bersama agensi tempatan.

525911483 1064616579190806 5287163847250688205 n

Kejayaan projek ini sekali gus membuktikan bahawa penglibatan aktif IPT dalam pembangunan komuniti mampu merapatkan jurang sosioekonomi dan mewujudkan ekosistem lestari yang menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG).

Teks & Foto: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025