SARAPAN BERSAMA YB MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
USM PULAU PINANG, 7 Ogos 2025 – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memulakan lawatan kerja beliau ke Pulau Pinang hari ini dengan pendekatan yang cukup mesra dan berjiwa rakyat.
Dalam jadual padat yang melibatkan beberapa program strategik bersama pihak industri, beliau meluangkan masa untuk bersarapan bersama warga Universiti Sains Malaysia (USM), satu langkah simbolik yang mencerminkan komitmen beliau terhadap keterlibatan akar umbi dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Bertempat di Nasi Kandar Subaidah USM, sebuah restoran ikonik dalam kalangan pelajar dan staf USM di kampus induk USM, sesi sarapan santai tersebut berlangsung dalam suasana penuh keakraban.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, serta barisan kepimpinan universiti, staf dan wakil pelajar.
Para pelajar dan staf yang hadir mengambil peluang untuk berinteraksi secara langsung, berkongsi pandangan serta aspirasi mereka terhadap masa depan pendidikan tinggi.
Sesi tersebut bukan sekadar menjamu selera, tetapi menjadi platform informal untuk mendengar suara warga kampus secara langsung.
Selepas sesi sarapan, YB Menteri telah menyempurnakan majlis perasmian International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA 2025) kali ke-32 di Setia SPICE Convention Centre, disusuli dengan perasmian Pusat Inovasi dan Automasi (CiA) USM-Sandisk Storage Malaysia di premis Sandisk di Batu Kawan.
Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri.
Usaha tersebut juga selaras dengan agenda nasional untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan dan memperluas peluang penyelidikan serta inovasi bersama industri.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 174