USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELANTIKAN REDZA RAFIQ SEBAGAI AHLI LGU PERKUKUH KOLABORASI USM-INDUSTRI

 DSC8652asd

PULAU PINANG, 26 Jun 2015 - Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh telah melantik Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Dato' Redza Rafiq Abdul Razak, 47, sebagai ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU) berkuat kuasa 1 Jun 2015 untuk tempoh tiga tahun.

Dalam surat pelantikannya, Idris mengucapkan tahniah kepada Redza Rafiq dan mengharapkan pelantikan ini mampu menyumbang dan membawa Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Redza Rafiq berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains dari University of Hull, United Kingdom dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA in Finance and E-Commerce). Memulakan kerjaya di Renong Group of Companies yang banyak mendedahkannya kepada dunia korporat, beliau turut terlibat dalam Malaysia Venture Capital Management Berhad, Penang Port Sdn Bhd., Fabtronic Sdn Bhd dan Multimedia Development Corporation (MDeC).

Redza Rafiq terlibat dalam pembangunan Cyberjaya sejak 1997, dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Pengarah Cyberview Sdn Bhd. pada Februari 2006 selepas menerajuinya sebagai Ketua Pegawai Operasi (Chief Operating Officer) sejak  Januari  2002. Redza Rafiq kemudiannya dilantik sebagai Ketua Eksekutif NCIA pada 1 Januari 2010. 

“Saya berharap dapat menyumbangkan tenaga dan pemikiran dalam merapatkan hubungan USM dengan industri terutamanya dalam memanfaatkan usaha-usaha penyelidikan dan inovasi yang terdapat di universiti,” kata Redza Rafiq ketika ditanya tentang pelantikan tersebut.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyambut baik pelantikan tersebut serta mengalu-alukannya dalam usaha memperkukuhkan kolaborasi USM dengan industri.

“Ini adalah gabungan pemikiran dan usaha yang mampu membuahkan hasil yang baik dalam pemerkasaan kolaborasi USM dengan pihak industri yang mampu membawa segala usaha yang ada termasuk penyelidikan dan inovasi untuk pembangunan masyarakat dan pembangunan ilmu yang terkehadapan,” kata Omar.

Tambahnya lagi, pelantikan ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus universiti dalam menggembleng pemikiran dan pengalaman tokoh-tokoh yang ada dalam masyarakat dan merapatkan jurang yang ada pada ketika USM berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pemindahan ilmu dan kolaborasi dengan industri diperkasakan dalam jangka panjang.

 DSC8571bjh

Rabu lalu, USM telah menandatangani persefahaman dengan NCIA yang diterajui Redza Rafiq yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak untuk memanfaatkan penyelidikan dan inovasi yang ada untuk pembangunan koridor utara melalui kolaborasi industri yang melibatkan bidang elektrik dan elektronik, solid state lighting dan pembangunan Bio-Teknologi di kawasan utara.

Persefahaman tersebut juga melibatkan program penjanaan ekonomi komuniti termasuk Eko, Warisan, Hospitaliti dan Pelancongan-Arkeo, Program Pembangunan Pelancongan Balik Pulau dan beberapa projek lain.

Turut diberikan perhatian ialah program pembangunan bakat dalam bidang keusahawanan dan program pembangunan Sains di Kedah di samping usaha membantu pelajar-pelajar miskin dalam kawasan NCIA.

“Ini adalah contoh dan petanda awal bagaimana Redza Rafiq dapat bersama-sama USM dalam melaksanakan usaha-usaha yang berkaitan dengan memanfaatkan penyelidikan dan inovasi serta pembangunan bakat untuk faedah masyarakat dan negara,” kata Omar lagi. Teks: Mohamad Abdulllah  / Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar 

http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/dato-redza-rafiq

 

  • Created on .
  • Hits: 1624

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024