REZEKI PAGI BUAT MAHASISWA USM: DATO' SERI YUSUF TAIYOOB RAIKAN PELAJAR DENGAN SUMBANGAN NASI LEMAK
USM PULAU PINANG, 31 Julai 2025 – Dalam semangat keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa, tokoh korporat dan pengasas Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd., Dato’ Seri Yusuf Taiyoob hadir ke kampus Universiti Sains Malaysia (USM) sempena kunjungan mesra dan edaran nasi lemak yang berlangsung di dua lokasi utama iaitu Pejabat Pentadbiran BHEPA, dan Kafeteria Fajar Harapan, di sini baru-baru ini.
Majlis anjuran Sektor Kebajikan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Gerakan Mahasiswa Istimewa (GMI) ini turut menjadi simbolik kepada pelancaran inisiatif agihan 100 nasi lemak secara percuma setiap hari kepada pelajar USM yang akan diteruskan sehingga Disember 2025.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir Dr. Abdul Rahman Mohamed hadir bagi meraikan kesungguhan dan komitmen besar tokoh korporat berkenaan dalam memperkasa kebajikan warga pelajar USM, sekaligus turut mengambil peluang mendekati pelajar-pelajar dalam sesi sembang santai.
Kemuncak program menyaksikan penandatanganan perasmian inisiatif sumbangan nasi lemak oleh tokoh usahawan berkenaan kepada USM, diikuti sesi edaran nasi lemak dimulakan kepada pelajar terpilih yang telah mendaftar awal melalui pautan pendaftaran rasmi.
Program diteruskan dengan sesi ramah-mesra bersama para pelajar di Kafeteria Fajar Harapan, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan beliau dalam suasana santai.
Dalam temu bual bersama pelajar, Danish, pelajar tahun satu Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan menyatakan bahawa inisiatif ini membantu menjimatkan perbelanjaan harian pelajar serta memudahkan pilihan makanan harian mereka, selain mampu menaikkan nama USM sebagai universiti yang prihatin terhadap kebajikan mahasiswa.
Fazlin Najwa, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan merangkap wakil MPP pula menyatakan bahawa para pelajar rata-rata berasa gembira kerana makanan yang diberikan bukan sahaja menjimatkan, malah mengenyangkan.
Beliau turut menyatakan bahawa MPP merancang untuk mengekalkan sistem Foodbank BHEPA, memperluaskan menu Rahmah di kafeteria, menyediakan baucar makanan dan buku, serta memperhebat hebahan makanan percuma melalui masjid kampus.
“Harapan saya adalah agar USM kekal menjadi universiti yang sentiasa mengutamakan kebajikan mahasiswa dan terus mendahului dari segi inisiatif kebajikan pelajar,” jelas Fazlin.
Majlis kebajikan ini bukan sekadar simbolik agihan makanan, tetapi mencerminkan semangat solidariti dan kepedulian sosial yang tinggi antara tokoh masyarakat, pentadbiran universiti dan mahasiswa.
Teks: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul (Pelajar Latihan Industri, Pusat Media dan Perhubungan Awam)
- Created on .
- Hits: 195